KUALA LUMPUR – Bekas isteri kepada pelakon Arash Mohamad mengejutkan ramai apabila mengesahkan rumah tangganya bersama aktor tersebut sudah berakhir sejak setahun lalu.
Noor Afidahwati Mohammad berkata, pengumuman itu dibuat bagi mengelakkan sebarang salah faham dan fitnah yang mungkin timbul serta bukan untuk meraih simpati.
“Bismillahirrahmanirrahim, tujuan hantaran ini hanyalah untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.
“Setahun sudah berlalu, kisah 17 tahun kami berakhir dengan lafaz yang sah,” katanya di Instagram miliknya di sini.
Noor Afidahwati, 43, menambah, keputusan berpisah bukan dibuat dalam amarah, sebaliknya diterima dengan reda selepas menelusuri pelbagai ujian dalam rumah tangga.
“Kini kami bukan lagi suami isteri, hanya dua hati yang pernah bertemu, lalu memilih jalan masing-masing.
“Semoga ketenangan ini kekal, dan doa yang baik terus mengiringi setiap langkah kami,” katanya lagi.
Untuk rekod, Afidahwati dan pelakon filem Tembus itu mendirikan rumah tangga sekitar 17 tahun lalu, namun belum dikurniakan rezeki zuriat sepanjang perkahwinan mereka. – MalaysiaGazette















