Kamal Adli dan Uqasha Senrose.

KUALA LUMPUR – Pelakon, Uqasha Senrose akhirnya membuka mulut tentang kisah rumah tangganya bersama bekas suami, Kamal Adli selepas prosiding pertama menfailkan perceraian semalam.

Uqasha, 33, berkata, keputusannya bukan dibuat secara terburu-buru sebaliknya mengambil masa panjang mempertahankan mahligai cinta mereka demi anak tersayang.

“Bersabar untuk anak? Ya kerana anaklah saya bertahan selama setahun,” katanya dalam TikTok.

Foto Instagram Uqasha Senrose.

Mengulas lanjut, pemilik nama sebenarnya, Nik Zaris Uqasha Nik Sen itu tidak menafikan rumah tangganya dilanda badai hebat namun menganggap apa yang berlaku sebagai ujian daripada Tuhan.

Namun dia enggan membuka aib sesiapa dan memilih untuk berdiam selain menyerahkan segalanya kepada ketentuan Ilahi.

“Betul ini dugaan, dugaan untuk diri saya. Sudah bahagian saya begini. Setiap manusia tidak akan henti diuji cuma bentuk ujiannya berbeza.

“Sudah terlalu masak dan terlampau masak, terserah kepada kalian (netizen). Saya tidak pernah berniat mahu membuka aib sesiapa. Mata saya pun sampai nampak lain sebab banyak menangis,” ujarnya.

Semalam mahkamah menetapkan 28 Oktober ini sebagai tarikh baharu bagi prosiding kes perceraian antara pasangan tersebut selepas Kamal sebagai defendan tidak hadir pada prosiding pertama.

Difahamkan, Uqasha memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 1 Oktober lalu di bawah Seksyen 47, Akta Undang-Undang Keluarga Islam dengan alasan tiada lagi persefahaman.

Pasangan selebriti itu mendirikan rumah tangga dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang pada 5 November 2021.

Mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira berusia setahun enam bulan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast