KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini berkenan berangkat menyempurnakan Istiadat Perbarisan Pertukaran Panji-Panji Agong Tahun 2025 di Dataran Panglima Tentera Darat di sini hari ini.
Istiadat penuh kententeraan yang dilaksanakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merupakan acara julung kali diadakan sejak Baginda menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Ia sekali gus mencerminkan ATM sebagai institusi yang sentiasa menjunjung tinggi prinsip kedua Rukun Negara iaitu Kesetiaan, kepada Raja dan Negara.

Menurut Markas ATM dalam kenyataan, istiadat itu bagi menggantikan panji-panji yang lama dan lusuh selain menjadi lambang kehormatan, semangat juang dan ketaatan warga ATM terhadap Raja dan Negara.
Istiadat bersejarah itu turut melibatkan tiga cabang utama ATM iaitu Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kor Armor Diraja (KAD) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Panji-Panji merupakan lambang kehormatan, identiti pasukan serta semangat juang yang diwarisi oleh setiap warga ATM. Ia disanjung tinggi dan diurus dengan penuh tatacara penghormatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Markas ATM, istiadat pertukaran itu juga menjadi simbol penghargaan terhadap jasa warga ATM dan membawa mesej bahawa keamanan serta kedaulatan negara bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan.
“Taat setia kepada raja dan negara adalah asas kekuatan angkatan ini, bertepatan dengan semangat yang dizahirkan melalui slogan duty, honour, sacrifice.
Justeru, ATM akan terus teguh berjuang dan memartabatkan pertahanan negara serta mendaulatkan tanah air tercinta”, tegasnya.

Terdahulu istiadat perbarisan pertukaran dimulakan dengan Hormat Diraja, diikuti perarakan keluar Panji-Panji lama, Pentauliahan serta Penganugerahan Panji-Panji baharu.
Lafaz ikrar kesetiaan turut dilafazkan sebelum Panji-Panji baharu dipersembahkan kepada Seri Paduka Baginda dan diperkenalkan kepada warga pasukan masing-masing sebagai simbol kebanggaan dan warisan perjuangan.
Perbarisan istiadat itu turut melibatkan kekuatan keseluruhan 34 pegawai dan 430 anggota dari lain-lain pangkat diketuai oleh Kol Mohd Fuad Md Ghazali dari Batalion Pertama RAMD, Left Kol Ahmad Faisal Muda dari Rejimen Kedua KAD serta Kol Azri Amad dari Markas Tentera Udara.

Detasmen pengiring terdiri daripada gabungan RAMD, KAD dan TUDM dengan iringan Pancaragam Pusat ketiga-tiga perkhidmatan tersebut di bawah pimpinan Kol Zaiful Azman Zainul Abidin.
Turut hadir menyaksikan istiadat itu adalah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali serta ketiga-tiga panglima perkhidmatan utama ATM. – MalaysiaGazette
















