PUTRAJAYA – Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 melakar sejarah dalam penganjurannya di negara ini apabila dihadiri pengamal media paling ramai dari luar negara.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Jepun sahaja mencatatkan kehadiran teramai menerusi 300 pengamal media dari negara matahari terbit itu.
“Jumlah wartawan yang paling besar dalam sejarah Sidang Kemuncak ASEAN yang kita adakan di Malaysia dengan lebih 300 wartawan dari negara Jepun sahaja.
“Dan ini satu detik yang cukup bersejarah,” katanya pada sidang mingguan di kementerian di sini hari ini.
Fahmi turut memaklumkan Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmão muncul pemimpin kerajaan pertama yang tiba di Kompleks Bunga Raya, KLIA pada pukul 12.15 tengahari tadi.
Antara pemimpin dunia lain yang dijangka berhimpun di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hujung minggu ini termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump; Perdana Menteri China, Li Qiang; Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa dan Perdana Menteri wanita pertama Jepun, Sanae Takaichi.
Mereka akan disertai Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva; Naib Perdana Menteri China, He Lifeng dan Presiden Afrika Selatan, Matamela Cyril Ramaphosa.
Turut hadir, Menteri Luar Finland, Elina Valtonen; Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn dan isteri Khen Rany; Menteri Luar dan Kerjasama Timor-Leste, Bendito dos Santos Freitas; Menteri Luar Indonesia, Sugiono serta Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik dan Keselamatan Djamari Chaniago.
Selaku Pengerusi ASEAN tahun ini dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, Malaysia akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada 26 hingga 28 Oktober ini di Kuala Lumpur.
Sidang kemuncak itu akan menghimpunkan pemimpin dari 10 negara anggota ASEAN dan rakan dialog.
Acara berkenaan juga akan menyaksikan kemasukan rasmi Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN yang dijangka dimuktamadkan pada 26 Oktober ini.
Sidang kemuncak kali ini dijangka menjadi perhimpunan terbesar dalam sejarah penganjuran kumpulan serantau.
Acara ini juga menandakan kali kelima Malaysia mempengerusikan ASEAN sejak 1967, selepas memegang jawatan itu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015. – MalaysiaGazette
















