Pesawat-pesawat Air Asia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2), Sepang. Foto SADIQ SANI, 15 OKTOBER 2024

KUALA LUMPUR – AirAsia menasihatkan para penumpang yang  melakukan perjalanan ke dan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA T2) dari 25 hingga 28 Oktober ini agar merancang perjalanan lebih awal susulan penutupan jalan secara berperingkat serta lencongan trafik sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Para penumpang juga dinasihatkan untuk menggunakan perkhidmatan alternatif seperti Express Rail Link (KLIA Ekspres atau KLIA Transit).

“Para tetamu dinasihatkan untuk merancang waktu perjalanan ke KLIA T2 bagi mengelakkan kemungkinan kelewatan lalu lintas ketara dan sekatan jalan dan tiba sekurang-kurangnya dua jam sebelum bagi penerbangan domestik serta tiga jam sebelum bagi penerbangan antarabangsa.

“Lebuhraya utama termasuk Lebuhraya KLIA, Lebuhraya ELITE (KLIA–Putrajaya), Lebuhraya MEX dan Lebuhraya KL–Seremban mungkin mengalami penutupan sementara serta lencongan bagi memberi laluan kepada pergerakan kenderaan rasmi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

AirAsia menambah, kaunter daftar masuk di KLIA T2 akan ditutup satu jam sebelum waktu berlepas yang dijadualkan.

Para tetamu digalakkan untuk melengkapkan daftar masuk secara kendiri melalui aplikasi AirAsia MOVE, yang boleh dilakukan dari 14 hari sehingga satu jam sebelum waktu berlepas, serta menggunakan pas masuk elektronik yang diterima di semua lapangan terbang di Malaysia dan di banyak destinasi lain dalam rangkaian AirAsia.

Para tetamu boleh menyemak status penerbangan di airasia.com/flightstatus, serta mendapatkan maklumat perjalanan terkini dan maklumat penting melalui aplikasi AirAsia MOVE atau di airasia.com. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast