Anina Saadudin
Anina Saadudin

KUALA LUMPUR – Badan Pimpinan Negeri (BPN) Terengganu menyifatkan dakwaan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin bersifat diktator adalah tidak berasas.

Setiausaha Bersatu Terengganu, Badrolhisham Mohd Shafie berkata, tuduhan dibuat Anina Saadudin mencerminkan beliau seolah-olah tidak memahami proses dan perlembagaan parti yang pernah dianggotainya.

“Kenyataan beliau yang dangkal seolah tidak selayaknya mendakwa sebagai pengasas parti yang tidak memahami proses yang telah dilalui seperti mana pelembagaan parti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Badrolhisham mengulas kenyataan bekas pengasas parti itu yang mengelarkan Muhyiddin sebagai diktator yang bebas memecat serta menggantung keahlian tanpa semak dan imbang.

Menurutnya, penubuhan Lembaga Disiplin Bersatu dibuat melalui pelantikan yang dipersetujui Majlis Pimpinan Tertinggi Parti (MPT) termasuk mereka yang sedang dikenakan tindakan.

“Lembaga Disiplin adalah badan bebas yang diberi kuasa untuk melaksanakan prosiding, siasatan dan menjatuhkan hukuman berdasarkan aduan dan bukti-bukti yang diterima,” ujarnya.

Beliau menegaskan, setiap individu terlibat telah dimaklumkan mengenai aduan terhadap mereka dan turut diberi ruang sepenuhnya untuk membela diri mengikut peraturan parti.

“Mereka ini dihukum atas kesalahan pelanggaran perlembagaan dan peraturan parti, termasuk Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Parti,” jelasnya.

Badrolhisham turut mempersoalkan tindakan pihak terbabit yang lebih gemar memainkan peranan sebagai mangsa berbanding menggunakan saluran rayuan yang disediakan parti.

“Namun mereka memilih untuk membina naratif ‘play victim’ daripada menggunakan hak mereka untuk mengemukakan rayuan bagi pertimbangan Lembaga Rayuan,” katanya.

Mengulas dakwaan Anina bahawa jawatan Pengerusi diwujudkan dahulu bagi mengimbangi kuasa Presiden, Badrolhisham berkata, kenyataan itu cuba menimbulkan persepsi bahawa perlembagaan parti kini membuka ruang kepada seorang pemimpin menjadi diktator.

“Pemansuhan jawatan Pengerusi Parti telah dibuat melalui pindaan Perlembagaan Parti dalam Persidangan Agung Bersatu yang telah dipersetujui sebulat suara oleh perwakilan,” katanya sambil menegaskan pandangan Anina berhubung struktur parti hanyalah pendapat peribadi semata-mata.

BPN Terengganu dalam pada itu menegaskan bahawa tindakan Anina mengungkit sejarah awal penubuhan Bersatu hanya bertujuan mencetuskan keraguan dalam kalangan ahli, sedangkan parti telah berkembang dengan kematangan organisasi dan disiplin yang lebih kukuh berbanding ketika mula ditubuhkan. – MalaysiaGazette

Muhyiddin jadi diktator dalam Bersatu – Anina

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast