KUALA LUMPUR – Prospek ekonomi Malaysia terus menunjukkan tanda-tanda penyederhanaan dengan Indeks Pelopor (IP) mencatatkan penurunan 0.5 peratus kepada 113.7 mata pada Ogos 2025 berbanding 114.3 mata pada bulan yang sama tahun lalu.
IP memberi petunjuk awal tentang titik perubahan dalam kitaran perniagaan dan arah tuju ekonomi dalamtempoh terdekat.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi ini sebahagian besarnya dipengaruhi oleh penurunan ketara dalam Import Benar Logam Asas Berharga & Logam Bukan Ferus Lain (-26.9%), sejajar kelembapan permintaan global.
Pada asas bulanan, IP mencatatkan penurunan 0.8 peratus, dipengaruhi oleh penurunan dalam Import Benar Semi Konduktor (-0.7%), selaras dengan sentimen perdagangan global yang berhati-hati.
Trend arah aliran jangka panjang terlicin IP pada Ogos2025 kekal berada di bawah 100.0 mata.
Ini menggambarkan ekonomi Malaysia kekal menyederhana, dipengaruhi oleh landskap domestik yang stabil sebagai penggerak pertumbuhan dankepelbagaian industri yang membolehkan kestabilan ekonomi walaupun berdepan cabaran global.
Sementara itu, Indeks Serentak (IS) yang menggambarkan prestasi ekonomi semasa, mengekalkan momentum positifnya dengan peningkatan tahunan sebanyak 2.1 peratus kepada 128.9 mata pada Ogos 2025 berbanding 126.3 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Pertumbuhan ini disokong terutamanya oleh peningkatan dalam Nilai Caruman Benar, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 9.6 peratus, selaras dengan trend peningkatan pasaran buruh susulan aktiviti ekonomi domestik yang kukuh.
Walau bagaimanapun, prestasi bulanan IS menunjukkan sedikit penyederhanaandengan penurunan sebanyak 0.6 peratus, berikutan kelembapandalam beberapa komponen, khususnya penggunaan kapasiti dalam pembuatan (-0.3%). – MalaysiaGazette















