PUTRAJAYA – Jemaah Menteri telah telah memutuskan garis paduan serta amalan sedia ada mengenai penganjuran acara khusus di sekolah Cina yang menghidangkan minuman alkohol masih terpakai.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, tidak ada perubahan kepada garis paduan sedia ada namun Kementerian Pendidikan (KPM) akan memberi penjelasan menerusi satu kenyataan rasmi dalam masa terdekat ini.
“Jemaah Menteri maklumkan bahawa bagi sesetengah sekolah jenis kebangsaan Cina, ada yang mendapat bantuan penuh, ada yang beberapa fasiliti dibangunkan dan dijaga oleh Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) atau pun telah dibangunkan oleh pihak swasta.
“Jadi ada beberapa perkara yang terpakai khusus untuk sekolah-sekolah Cina.
“Tetapi boleh rujuk dengan kenyataan daripada KPM sejurus selepas sidang media ini. Perkara ini memang dalam pengetahuan dan dalam pertimbangan Jemaah Menteri, itulah sebab peraturan sedia ada, terpakai.
“Tidak ada perubahan kepada garis panduan dan peraturan serta amalan yang sedia ada,” katanya pada sidang media mingguan di kementerian di sini hari ini.
Hari ini, Penasihat DAP, Lim Guan Eng mendakwa larangan minuman beralkohol dihidangkan di dewan sekolah Cina yang dibina sepenuhnya hasil sumbangan masyarakat Cina ibarat ‘menjolok sarang tebuan’.
Beliau mendakwa, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat berhubung larangan itu semalam telah menimbulkan rasa kecewa dalam kalangan masyarakat Cina.
Kata Guan Eng, hidangan minuman beralkohol merupakan amalan dan adat biasa dalam acara masyarakat Cina seperti majlis perkahwinan masyarakat dan jamuan di kuil.
Dalam pada itu, Guan Eng berkata, sekolah rendah Cina terkenal secara meluas sebagai institusi pendidikan yang cemerlang dan pelajarnya tidak terdedah kepada alkohol dan memiliki akhlak serta nilai etika yang baik. – MalaysiaGazette
















