KUALA LUMPUR – Pengendali perkhidmatan e-hailing tempatan, GV Ride, kini bersiap sedia untuk kembali beroperasi di Subang Jaya dengan sistem dan pendekatan baharu selepas mengambil kira maklum balas pengguna serta pemandu sejak pelancaran awalnya.
Ketua Pegawai Eksekutif GV Ride, Kabeer Maand berkata, syarikat itu mengakui terdapat beberapa cabaran semasa pelancaran lalu namun telah mengambil langkah pembetulan bagi memperkukuh operasi dan meningkatkan mutu perkhidmatan.

“Fokus utama kami kini adalah membina semula kepercayaan dan memberikan nilai sebenar kepada pemandu serta penumpang.
“Kami telah belajar daripada pengalaman terdahulu dan akan kembali dengan sistem yang lebih baik serta sokongan yang lebih kuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, GV Ride telah menyusun semula pasukan pengurusan serta memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang lebih ketat bagi memastikan kelancaran dan keselamatan pengguna.
Selain itu, syarikat tersebut turut memperkenalkan beberapa inisiatif baharu termasuk penambahbaikan sistem aplikasi dan program penglibatan komuniti bagi memperkukuh hubungan dengan pengguna dan pemandu.
“Komunikasi yang telus dan penglibatan komuniti adalah asas kepada strategi baharu GV Ride. Kami mahu memastikan setiap maklum balas diambil kira dalam usaha menambah baik pengalaman pengguna,” katanya lagi.
Sebelum ini, GV Ride melancarkan kempen ‘Free Rides Subang’ sepanjang April lalu yang menawarkan tambang percuma kepada penduduk dan pengunjung sekitar Subang Jaya dengan jumlah subsidi sebanyak RM500,000.
Kabeer berkata, kempen berkenaan membantu memperkenalkan jenama GV Ride kepada masyarakat setempat selain memberi manfaat kepada pengguna melalui perkhidmatan yang mudah, selamat dan dipercayai.
GV Ride merupakan antara platform e-hailing tempatan yang semakin berkembang di Malaysia dengan komitmen untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan yang mampu milik, mesra pemandu dan berteraskan inovasi teknologi. -MalaysiaGazette
















