Donald Trump . foto AFP photo AFP

WASHINGTON – Presiden Donald Trump menegaskan Israel tidak akan melakukan apa-apa tindakan di Tebing Barat.

Kenyataan ini dibuat ketika Naib Presiden Amerika Syarikat, JD Vance, berada di Israel.

“Jangan risau tentang Tebing Barat. Mereka (Israel) tidak akan melakukan apa-apa dengannya. Israel akan kehilangan semua sokongannya daripada Amerika Syarikat (AS) jika itu berlaku.

“Ia tidak akan berlaku kerana saya sudah berjanji kepada negara-negara Arab,” katanya.

Beliau mengulas demikian ketika ditanya mengenai komitmen Israel untuk mengambil alih Tebing Barat Palestin, yang diduduki oleh rejim zionis itu sejak 1967.

Rabu lalu,  Parlimen Israel meluluskan dua rang undang-undang berkaitan pengambilalihan wilayah yang diduduki, hanya seminggu selepas Trump memuktamadkan perjanjian bagi menamatkan serangan dua tahun Israel di Gaza.

Namun, beberapa negara Arab dan Islam yang didekati Amerika Syarikat bagi membantu pasukan penstabilan di Gaza telah memberi amaran bahawa pengambilalihan wilayah Tebing Barat merupakan garis merah bagi mereka

Seorang pegawai kanan pentadbiran Trump berkata, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tidak boleh memperlakukan pentadbiran Trump seperti beliau berurusan dengan Presiden Joe Biden sebelum ini.

Ia merujuk kepada ketegangan terdahulu antara Biden dan Netanyahu semasa pentadbiran Demokrat.

Pegawai AS lain turut memberi amaran bahawa Trump akan mengambil tindakan tegas terhadap Netanyahu jika beliau mengganggu perjanjian gencatan senjata Gaza dan pembebasan tebusan, menurut laporan Channel 12.

JD Vance dikatakan terkejut dengan keputusan Knesset dan menganggap Israel bertindak secara “tidak diawasi.”

Netanyahu memberitahu Vance bahawa undi tersebut hanyalah “undi awal” dan tidak akan membawa kepada tindakan sebenar.

Vance dilaporkan menyifatkan langkah itu sebagai “taktik politik yang sangat bodoh”.

Dalam perkembangan lain, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, tiba di Israel dan bertemu Netanyahu di Baitulmaqdis.

Kedua-dua pemimpin mengeluarkan kenyataan ringkas, yang mana Netanyahu menyifatkan Israel sedang menghadapi “hari-hari penting”.

Manakala Rubio menegaskan gencatan senjata Gaza tetap menjadi keutamaan utama Trump, dan lawatan pegawai tinggi AS sebelum ini menunjukkan usaha berterusan untuk memperkukuh keamanan dan kerjasama AS-Israel. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast