Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ceria ketika tiba di mahkamah bagi menghadiri perbicaraan kes SRC International di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 07 JULAI 2025. (GAMBAR FAIL)

PUTRAJAYA – Pasukan pembelaan dalam kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berhujah, Mahkamah Tinggi tidak sepatutnya menerima keterangan saksi pendakwaan, Jasmine Loo Ai Swan yang disifatkan sebagai individu yang tidak boleh dipercayai.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhujah, isu kritikal yang dibangkitkan ialah mengenai kaitan bekas peguam 1MDB itu dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Hujah beliau, Jasmine Loo dalam keterangannya mengaku beliau beberapa kali melarikan diri ke negara-negara termasuk China selain Jho Low membantunya membolosinya Myanmar secara haram tanpa pasportnya dicop.

“Keadaan ini amat berlainan dengan Datuk Seri Najib (Razak) yang mana anak guam kami tidak mempunyai hubungan sedemikian dengan Jho Low. Tiada bukti menunjukkan Jho Low menyediakan khidmat kepada anak guam kami.

“Bolehkah mahkamah mempercayai Jasmine Loo apabila peguam korporat sepertinya mengaku tidak memiliki apa-apa dokumen bahawa wang yang diterimanya tiada kena-mengena dengan 1MDB?

“Jika mahkamah mempercayai Jasmine Loo, anak guam kami (Najib) sepatutnya dibebaskan daripada semua pertuduhan yang dihadapinya,” hujahnya.

Muhammad Shafee menyatakan demikian pada sesi penghujahan mewakili Najib yang menghadapi empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.

Sementara itu, seorang lagi peguam, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin berhujah, tiada bukti yang menunjukkan Najib secara peribadi berminat dengan Mastika Lagenda Sdn Bhd, Genting Berhad malah dalam Goldman Sachs atau RHB Investments.

Dalam keterangannya, bekas Perdana Menteri menyatakan beliau tidak memiliki saham atau kepentingan dalam Mastika Lagenda atau Genting Berhad mahu pun kepentingan dalam RHB Investment atau Goldman Sachs.

Hujahnya, bagaimanapun pihak pihak pendakwaan beralih kepada pengambilalihan Mastika Lagenda sebagai alasan untuk mendakwanya atas pertuduhan salah guna jawatan awam.

Hujah beliau, pertuduhan terhadap bekas Perdana Menteri diteruskan semata-mata berdasarkan jawatan awam yang disandangnya, bukan untuk penyalahgunaan jawatan awam.

“Meskipun bekas Perdana Menteri merupakan pemegang saham tunggal 1MDB, pendakwaan tidak sepatutnya dikenakan hanya kerana beliau berjawatan Menteri Kewangan yang merupakan epitome kepada pendakwaan politik.

“Apa yang ditegaskan oleh pendakwaan ialah tidak kira sama ada cadangan telah dibincangkan atau dicadangkan oleh Lembaga Pengarah selagi ia telah diluluskan oleh Datuk Seri Najib, ia cukup munasabah untuk kesalahan salah guna kuasa dilakukan.

“Meskipun kelulusan itu dibuat dengan suci hati untuk
faedah negara dan kerajaan dan ia telah diberi mandat di bawah undang-undang,” hujah beliau.

Penghujahan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin ini.

Mengikut pertuduhan, bekas Ahli Parlimen Pekan itu menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi pertuduhan pengubahan haram pula antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast