KUALA LUMPUR – Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersetuju untuk mengekalkan garis panduan serta amalan sedia ada berhubung penganjuran program dan penyaluran sumbangan kepada sekolah.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan memaklumkan, keputusan itu adalah selaras dengan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri pada 24 Julai tahun lalu yang mengekalkan pendekatan sedia ada bagi memastikan kelangsungan dan ketelusan dalam penganjuran program pendidikan di seluruh negara.
“Dalam masa yang sama, Jemaah Menteri turut menegaskan bahawa amalan sedia ada di dewan sekolah yang dikendalikan oleh Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) serta dewan-dewan sekolah swasta tidak akan terjejas dengan keputusan berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Antara garis panduan utamanya ialah aktiviti sumbangan dana tidak boleh mempromosikan minuman keras dan perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Tambahnya, pendekatan tersebut juga adalah sejajar dengan amalan yang telah diterima dan dilaksanakan oleh pentadbiran terdahulu, termasuk kerajaan sebelum ini bagi memastikan keharmonian dan kesinambungan pelaksanaan dasar pendidikan negara. – MalaysiaGazette
















