Kamal Adli dan Uqasha Senrose.

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) mengesahkan status pernikahan pasangan selebriti, Ahmad Kamal Ahmad Adli atau Kamal Adli, 39, dan Nik Zaris Uqasha Nik Sen (Uqasha Senrose), 33, adalah mengikut syarak.

Berdasarkan Rekod Pendaftaran Nikah Negeri Pahang, JAIP berkata, Kamal dan Uqasha dinikahkan pada 4 November 2021 pukul 9.30 malam di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Bentong.

“Majlis akad nikah dijalankan dengan persetujuan dan kehadiran wali mujbir pengantin perempuan iaitu bapa kandungnya, Nik Sen Mat Ripin.

“Bapa pengantin perempuan mewakilkan (wakalah wali) kepada Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Kawasan Bentong 1 untuk menjalankan akad nikah itu,” katanya dalam satu kenyataan.

JAIP turut menjelaskan majlis pernikahan Kamal dan Uqasha dikendalikan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan wabak Covid-19 yang berkuat kuasa ketika itu.

“Jabatan ini memperakukan bahawa akad nikah yang berlangsung memenuhi semua rukun nikah dan sah dari sudut hukum Syarak,” katanya.

Pengesahan JAIP meredakan spekulasi status perkahwinan Kamal dan Uqasha yang kini berdepan kemelut rumah tangga.

Sebelum ini, melalui hantaran Instagram, Uqasha mendakwa dirinya diperbodohkan Kamal dan keluarga melalui apa yang dikatakan tindak memanipulasi tarikh pernikahan mereka.

Uqasha mendakwa dia dinikahkan pada 5 November 2021 pukul 9 pagi namun mempersoalkan tarikh pernikahan tertera pada sijil pernikahan adalah pada 4 November 2021 pukul 9.30 malam.

Bagaimanapun, semakan mendapati Uqasha sudah memadamkan hantaran berkenaan.

Kelmarin mahkamah menetapkan 28 Oktober ini sebagai tarikh baharu bagi prosiding kes perceraian antara pasangan tersebut selepas Kamal sebagai defendan tidak hadir pada prosiding pertama itu.

Difahamkan, Uqasha memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 1 Oktober lalu di bawah Seksyen 47, Akta Undang-Undang Keluarga Islam dengan alasan tiada lagi persefahaman.

Namun prosiding tersebut ditangguhkan kepada 28 Oktober ini selepas Kamal tidak hadir ke mahkamah kerana terikat dengan jadual penggambaran meskipun dimaklumkan mengenai prosiding berkenaan lebih awal.

Pasangan selebriti itu mendirikan rumah tangga dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang pada 5 November 2021.

Mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira berusia setahun enam bulan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast