Keadaan sebuah kereta yang dirempuh lori membawa muatan tanah di Jalan Meru Tambahan berhampiran Pekan Kapar, Klang, baru-baru ini.

KEMALANGAN yang berlaku di Jalan Meru Tambahan berhampiran Pekan Kapar, Klang, apabila sebuah lori membawa muatan tanah merempuh beberapa kenderaan hingga  mencederakan empat individu, sekali lagi membuka mata masyarakat terhadap isu keselamatan jalan raya di Malaysia. Tragedi ini bukan sekadar satu insiden terpencil, tetapi mencerminkan realiti yang lebih besar iaitu betapa kenderaan berat masih menjadi antara ancaman utama kepada keselamatan pengguna jalan raya, terutamanya di kawasan pinggir bandar dan perindustrian seperti Klang, Meru, Rawang dan Shah Alam.

Kawasan seperti ini kini semakin padat dengan aktiviti industri, pembinaan dan pengangkutan bahan mentah. Jalan raya yang asalnya direka untuk kenderaan ringan kini turut menampung ratusan lori tanah, treler dan kontena setiap hari. Malangnya, reka bentuk dan kapasiti jalan tersebut tidak sesuai untuk menampung beban berat serta saiz kenderaan sedemikian.

Laluan yang sempit, selekoh tajam, sistem lampu isyarat yang tidak diselaraskan serta permukaan jalan yang rosak menjadikan kawasan ini antara lokasi paling berisiko tinggi untuk berlakunya kemalangan melibatkan lori. Apabila sebuah lori berat yang membawa muatan melebihi had bergesel atau hilang kawalan, impaknya adalah sangat besar. Jarak membrek yang panjang dan kestabilan yang rendah menjadikan sebarang kesilapan kecil mampu bertukar menjadi tragedi yang mengorbankan nyawa.

Di sebalik punca teknikal, faktor manusia turut memainkan peranan yang signifikan. Ramai pemandu lori terpaksa bekerja melebihi masa yang munasabah demi mengejar jadual penghantaran yang padat. Tekanan kerja dan keletihan kronik menyebabkan mereka hilang fokus dan lambat bertindak balas ketika berhadapan situasi kecemasan.

Ada juga yang mengambil jalan mudah dengan memandu laju, tidak mengekalkan jarak selamat, atau memandu pada waktu larangan demi memenuhi tuntutan kerja. Dalam masa yang sama, masih wujud pemandu yang tidak menjalani latihan keselamatan atau pemeriksaan kesihatan berkala, walaupun mereka mengendalikan kenderaan seberat berpuluh tan di jalan awam.

Selain itu, isu penyelenggaraan lori juga sering diabaikan. Walaupun undang-undang mewajibkan pemeriksaan berkala oleh PUSPAKOM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), hakikatnya banyak lori masih beroperasi dalam keadaan tidak selamat. Brek haus, tayar botak, sistem hidraulik bocor dan lampu tidak berfungsi merupakan pemandangan biasa di jalan raya.

Kenderaan seperti ini menjadi bom jangka bergerak yang boleh meragut nyawa pada bila-bila masa. Lebih membimbangkan, muatan berlebihan masih berleluasa kerana sebahagian syarikat mahu menjimatkan kos perjalanan dengan mengangkut lebih banyak dalam satu trip. Amalan ini bukan sahaja membahayakan nyawa, malah mempercepatkan kerosakan jalan raya dan menambah risiko mendapan serta retakan yang akhirnya
mengundang lebih banyak kemalangan.

Dari sudut penguatkuasaan pula, Malaysia mempunyai pelbagai agensi berkaitan keselamatan jalan raya, termasuk JPJ, PDRM, LLM, JKR dan pihak berkuasa tempatan. Namun, kelemahan sering berlaku pada tahap pelaksanaan di lapangan. Banyak lori yang bergerak tanpa pemeriksaan muatan, tidak melalui penimbangan berat, dan beroperasi di luar waktu dibenarkan.

Operasi khas memang dijalankan dari semasa ke semasa, namun kesannya hanya sementara. Tanpa sistem pemantauan berterusan seperti kamera pengesan berat dan kelajuan
(weigh-in-motion) atau sistem pengecaman nombor automatik (ANPR), pelanggaran sukar dikesan dan sering berulang. Masalah ini menunjukkan bahawa kita masih jauh daripada pendekatan keselamatan berasaskan data dan pencegahan.

Baru-baru ini, langkah tegas yang diumumkan oleh Menteri Pengangkutan Malaysia, Yang Berhormat Loke Siew Fook menandakan perubahan penting dalam pendekatan kerajaan terhadap isu kenderaan berat yang berlebihan muatan. Selama ini, kadar saman RM300 memang dianggap terlalu rendah dan tidak mampu memberi kesan jera kepada syarikat pengangkutan. Dengan pelaksanaan tindakan pentadbiran seperti pembatalan lesen dan permit oleh APAD bagi pesalah berulang, mesej yang disampaikan adalah jelas iaitu keuntungan tidak boleh mengatasi keselamatan awam dan undang-undang jalan raya. Pendekatan bersepadu antara agensi turut menunjukkan kesungguhan untuk menutup ruang manipulasi dan memastikan penguatkuasaan benar-benar berkesan.

Infrastruktur jalan raya di banyak kawasan perindustrian juga tidak mesra kepada kenderaan berat. Tiada laluan khas, lorong perlahan atau kawasan hentian selamat disediakan untuk lori. Apabila berlaku kecemasan seperti kegagalan brek, pemandu tiada ruang untuk mengawal keadaan yang akhirnya menyebabkan pelanggaran tidak dapat dielakkan. Permukaan jalan yang tidak direka untuk beban berat pula cepat rosak pula menghasilkan permukaan jalan tidak rata dan berlubang yang membahayakan semua pengguna. Keadaan ini menuntut
penyelesaian menyeluruh melalui reka bentuk semula jalan, penetapan zon operasi lori serta pelaksanaan sistem pemantauan digital yang bersepadu dengan pusat kawalan trafik.

Kesan kemalangan kenderaan berat bukan hanya terhad kepada kecederaan fizikal atau kehilangan nyawa. Ia turut membawa beban sosial dan ekonomi yang besar. Mangsa mungkin kehilangan upaya dan keluarga kehilangan tempat bergantung, manakala masyarakat pula menanggung kesesakan, kos pembaikan dan tekanan emosi. Lebih membimbangkan lagi apabila tragedi seperti ini sering berulang, masyarakat mula hilang kepercayaan terhadap keberkesanan sistem pengurusan keselamatan jalan raya negara. Ini bukan sekadar isu teknikal, tetapi juga mencerminkan kepercayaan terhadap sistem dan nilai kemanusiaan kita.

Menyalahkan pemandu semata-mata tidak cukup. Secara jujurnya, masalah ini perlu ditangani secara holistik. Pemandu lori perlu diberikan latihan keselamatan dan jadual kerja yang munasabah. Syarikat pengangkutan mesti mengambil tanggungjawab penuh terhadap penyelenggaraan kenderaan dan kebajikan pemandu mereka. Agensi kerajaan pula perlu meningkatkan penguatkuasaan berasaskan teknologi serta menambah baik reka bentuk jalan. Dalam masa yang sama, pengguna jalan lain juga perlu berhemah. Ini termasuklah perkara-perkara seperti memberi ruang kepada lori besar, tidak memotong secara berbahaya dan sentiasa peka terhadap risiko di sekeliling mereka.

Kemalangan di Kapar ini wajar dijadikan pengajaran bahawa isu keselamatan jalan raya buk an boleh diserahkan kepada satu pihak sahaja. Ia menuntut tindakan bersepadu di antara kerajaan, industri dan masyarakat. Jalan raya yang selamat tidak hanya bergantung kepada papan tanda dan kamera, tetapi kepada sikap, tanggungjawab dan empati kita terhadap nyawa manusia lain. Jika semua pihak memainkan peranan masing-masing dengan jujur dan konsisten, maka tragedi seperti ini bukan lagi perlu dianggap sebagai “takdir”, tetapi sesuatu yang boleh dicegah melalui sistem yang lebih adil, berkesan dan berperikemanusiaan.

Oleh: Prof. Madya Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff, Pensyarah Kanan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan

Ts. Dr. Faridah Hanim Khairuddin, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast