KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan (Waspada) ke atas empat negeri di Semenanjung.

MetMalaysia dalam kenyataan melalui infografik yang dikeluarkan pada 4.30 petang tadi menyatakan hujan berterusan dijangka berlaku sehingga esok.

Negeri-negeri yang terlibat ialah Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Amaran tersebut dikeluarkan susulan keadaan cuaca yang dijangka terus tidak menentu, khususnya di kawasan utara Semenanjung.

MetMalaysia menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati serta mengikuti perkembangan amaran semasa yang akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

Penduduk di kawasan berisiko turut diingatkan supaya bersiap sedia menghadapi kemungkinan seperti banjir kilat dan tanah runtuh.

Selain itu, agensi berkenaan menggesa masyarakat mengutamakan keselamatan dan mematuhi arahan pihak berkuasa jika situasi memerlukan pemindahan.

Maklumat lanjut dan perkembangan amaran cuaca boleh didapati melalui saluran rasmi MetMalaysia.

Sehingga 12 tengah hari tadi, jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi di Kedah, Perak dan Pulau Pinang meningkat kepada 37 dengan 3,441 mangsa banjir daripada 1,175 keluarga.

Menurut data Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Perak merekodkan peningkatan jumlah mangsa daripada 2,200 kepada 2,202 orang, membabitkan 757 keluarga. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast