Mohd Muazzam Mohamed

KUALA LUMPUR – Lembaga Pengarah Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) mengumumkan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO), Datuk Mohd Muazzam Mohamed mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan setelah lebih 10 tahun berkhidmat dengan penuh dedikasi, termasuk tujuh tahun sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan.

Peletakan jawatan beliau akan berkuat kuasa pada 7 Januari 2026 dan hari terakhir perkhidmatannya di Bank Islam ialah 12 Disember 2025.

Berikutan itu, mulai 13 Disember 2025, Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan Perbankan Runcit Bank Islam, Mizan Masram akan memainkan peranan sebagai pegawai yang bertanggungjawab ke atas kumpulan bagi memastikan peralihan yang lancar.

Bank Islam dalam kenyataan memaklumkan, Mohd Muazzam akan menjalani tempoh notis dan terus memberikan sokongan kepada Mizan bagi memastikan kelancaran proses peralihan itu.

Sejak memegang jawatan sebagai GCEO pada 2018, Mohd Muazzam menerajui Bank Islam melalui fasa transformasi digital dan pertumbuhan yang penting dengan merombak semula perkhidmatan menyeluruh Bank Islam dengan mengintegrasikan teknologi bersama prinsip kewangan Islam.

Beliau memimpin strategi transformasi digital kumpulan, termasuk pelaksanaan inisiatif pembayaran elektronik dan pelancaran Be U, aplikasi perbankan mudah alih berasaskan awan yang pertama di negara ini.

Transformasi digital itu memperkukuh daya tahan perniagaan, sekaligus mengubah cara Bank Islam berkhidmat kepada pelanggan.

Mohd Muazzam turut memainkan peranan penting dalam hala tuju strategik, pengurusan lembaran imbangan dan modal serta kedudukan pasaran kumpulan.

Beliau mengetuai penstrukturan semula kumpulan yang besar pada Oktober 2021, yang mana Bank Islam mengambil alih status penyenaraian daripada kumpulan induknya dan menjadi satu-satunya bank Islam yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

Mengumumkan keputusannya, Mohd Muazzam berkata: “Pengalaman berkhidmat di Bank Islam merupakan satu penghormatan besar bagi saya. Selepas tujuh tahun sebagai GCEO, saya percaya ini adalah masa yang sesuai untuk saya berundur dan memberi tumpuan kepada matlamat peribadi.

“Saya amat berterima kasih atas kepercayaan dan sokongan yang telah saya terima daripada Lembaga Pengarah, pengurusan, dan semua rakan kerja di Bank Islam,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Bank Islam, Tan Sri Dr Ismail Bakar berkata, Mohd Muazzam telah memainkan peranan penting dalam membentuk Bank Islam menjadi sebuah institusi yang kukuh dan berdaya tahan seperti yang dicapai pada ketika ini.

“Mewakili Lembaga Pengarah, kami merakamkan setinggi tinggi penghargaan atas khidmat dan mendoakan kejayaan dalam segala usaha masa hadapan beliau,” katanya.

Lembaga Pengarah Bank Islam telah memulakan proses pencarian rasmi untuk mengenal pasti pengganti yang sesuai bagi menerajui kumpulan ke fasa pertumbuhan seterusnya.

Pengumuman mengenai GCEO baharu akan dibuat setelah memperoleh kelulusan pihak kawal selia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast