KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Ahli Lembaga Yayasan Pengakap Dunia (WSF), Puteri Sama Faisal Al Saud di pejabat beliau semalam.
Kunjungan itu bersempena penganjuran Badan Persekutuan Dunia Baden-Powell ke-77 yang berlangsung di ibu negara mulai semalam hingga Ahad ini.
Dalam pertemuan tersebut, mereka membincangkan peranan WSF dalam memperkasa generasi muda di peringkat global termasuk pelaksanaan inisiatif Messengers of Peace yang memberi impak positif terhadap pembangunan belia dan keamanan sejagat.
Menurut Anwar, Malaysia dan Arab Saudi berkongsi aspirasi yang sama dalam memperkukuh hubungan dua hala khususnya dalam bidang pembangunan belia, inovasi sosial dan diplomasi budaya.
“Semoga jalinan kerjasama ini terus mekar dan menjadi platform penting dalam memperkukuh nilai kemanusiaan sejagat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Acara tahunan Fellowship Baden-Powell Sedunia itu menghimpunkan tokoh-tokoh antarabangsa yang komited dalam menyokong misi pengakap dunia ke arah membentuk kepimpinan muda berdaya saing dan berintegriti. – MalaysiaGazette
















