Donald Trump . foto AFP photo AFP

KUALA LUMPUR – Malaysia bersiap sedia menerima kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang dijadual tiba Ahad ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, di sini.

Jadual pada laman sesawang Amerika Roll Call menyatakan Trump dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sebelah petang.

Difahamkan antara perbincangan yang dilakukan meliputi perdagangan, pelaburan, keselamatan serantau dan kerjasama digital di bawah kerangka ASEAN-AS.

Trump akan menghadiri majlis menandatangani perjanjian bersama Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, dipercayai berkaitan penyelesaian pertikaian sempadan antara kedua-dua negara itu.

Beliau kemudiannya akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13 serta jamuan makan malam rasmi bersama para pemimpin ASEAN sebelum menamatkan lawatannya ke Malaysia.

Lawatan ini merupakan yang pertama bagi Trump ke Asia sejak memulakan penggal keduanya sebagai Presiden AS dan juga lawatan pertama Presiden AS ke Malaysia selepas kunjungan Barack Obama sedekad lalu.

Kehadiran beliau ke Kuala Lumpur dilihat memperkukuh komitmen Washington terhadap hubungan dengan ASEAN, terutama dalam aspek ekonomi, teknologi dan kestabilan geopolitik serantau.

Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini dengan tema Keterangkuman dan Kemampanan bakal menjadi tuan rumah kepada lebih 20 pemimpin dunia termasuk Perdana Menteri China, Li Qiang; Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi dan Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast