Menteri Luar, Datuk Sri Mohamad Hasan bergambar bersama Menteri Luar ASEAN pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN sempena sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan ketika di Pusat Konvensyen kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 25 OKTOBER 2025.

KUALA LUMPUR – ASEAN kini berada di persimpangan penting ketika landskap antarabangsa semakin didominasi oleh persaingan dan perpecahan, bukannya kesepakatan atau dialog.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ini menyebabkan ruang untuk ASEAN kekal neutral dan berpusat juga semakin sempit, khususnya dalam bidang perdagangan, teknologi dan keselamatan serantau.

Apatah lagi, tambah beliau, rantau ASEAN pada tahun-tahun mendatang juga akan terus dibayangi oleh kekacauan politik global.

“Seperti yang saya nyatakan pada awal kepimpinan Malaysia dalam ASEAN, kita mesti terus menjadi pihak yang bersuara, bukan yang disuarakan.

“Inilah cabaran paling mendesak bagi ASEAN dalam tahun-tahun mendatang yang penuh ketidaktentuan,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di sini hari ini.

Menteri Luar, Datuk Sri Mohamad Hasan berucap pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN sempena sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan ketika di Pusat Konvensyen kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 25 OKTOBER 2025.

Sementara itu, tambah Mohamad, undang-undang antarabangsa dan sistem dunia sejak kebelakanga ini juga berada di bawah tekanan besar.

Sehubungan itu, jelasnya, dalam menumpukan kepada usaha terus menangani cabaran yang dihadapi rantau ini, ASEAN tidak boleh menutup mata terhadap konflik di luar rantau tersebut.

Beliau mengambil contoh bagaimana dunia selama dua tahun lalu khususnya, telah menyaksikan penderitaan luar biasa yang dialami rakyat Palestin di Gaza.

Menurutnya, tragedi di Gaza menyebabkan kehilangan nyawa yang dahsyat, pengusiran besar-besaran rakyat serta penghakisan sistematik terhadap harapan dan maruah manusia.

Disebabkan itu, tambahnya, ASEAN mengalu-alukan usaha ke arah menghentikan keganasan di Gaza, dalam fasa pertama Pelan Komprehensif Menamatkan Konflik Gaza yang dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

“Perkembangan ini merupakan langkah penting ke hadapan dan kita berharap ia akhirnya akan membawa kepada penzahiran hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri, serta penubuhan negara Palestin yang berdaulat dan merdeka,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast