Nur Faratin menerima pencen penakat dianggarkan RM1,645.88 sebulan untuk seumur hidup.

KEPALA BATAS – Balu kepada pendaki yang meninggal dunia akibat hipotermia ketika mendaki Gunung Liang, Tanjung Malim, Perak minggu lalu menerima dua faedah perlindungan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Pengarah Perkeso Pulau Pinang, Rafidah Abdul Rahim berkata, Allahyarham Mustaqqeem Mansor, 34, yang bertugas sebagai Eksekutif Teknologi Maklumat di Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCER), merupakan pencarum aktif sejak Julai 2021.

Menurutnya, semakan mendapati Allahyarham layak sepenuhnya di bawah Skim Keilatan dengan caruman terakhir berjumlah RM113.60 pada September 2025.

“Faedah yang diterima Nur Faratin Mohd Othman, 31, meliputi faedah pengurusan mayat sebanyak RM3,000 serta pencen penakat dianggarkan RM1,645.88 sebulan untuk seumur hidup,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan faedah di kediaman bapa saudara Allahyarham di Taman Haji Abdullah Fahim di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam merangkap Pengerusi MATRADE, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan isteri beliau, Datin Seri Ismalina Ismail turut menyampaikan sumbangan tambahan sebanyak RM350 sebulan selama setahun kepada Nur Faratin.

Sementara itu, Nur Faratin yang bekerja separuh masa sebagai penyelenggara penapis air, meluahkan rasa syukur atas bantuan diterima serta menyifatkan arwah suaminya seolah-olah membuat persediaan awal sebelum pemergiannya.

“Saya sangat terharu dan bersyukur. Tak sangka caruman yang dibuat arwah rupanya akan membantu saya dan keluarga selepas dia tiada,” katanya sebak.

Terdahulu, media melaporkan Mustaqqeem ditemui meninggal dunia akibat hipotermia selepas dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi Trans Slim dari Bukit Fraser ke Gunung Liang bersama 10 rakan pendaki.

Mayatnya ditemui di puncak gunung berketinggian 1,933 meter kira-kira jam 3.30 petang pada 17 Oktober lalu, sebelum dibawa keluar menggunakan helikopter Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB) dan hasil bedah siasat di Hospital Slim River mengesahkan punca kematian akibat kesejukan melampau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast