Kamarul Hafiz Jaafar

TANGKAK – Seorang bapa kepada pelajar kolej yang terkorban dalam kemalangan meragut empat nyawa malam tadi, masih teringat-ingat lambaian terahkir anaknya.

Kamarul Hafiz Jaafar, 51, berkata, kali terakhir melihat Muhammad Darwish Kamarul Hafiz, 19, semasa depan Kolej Komuniti Ledang, di sini, semalam.

“Darwish melambai-lambai ke arah saya di depan kolej tempat dia belajar pada sebelah pagi. Tidak sangka ia menjadi kenangan terakhir bersama-samanya sebelum Darwish maut dalam kemalangan pada sebelah malamnya,” katanya.

Muhammad Darwish merupakan seorang mangsa nahas membabitkan empat kenderaan di Kilometer 32.5 Jalan Muar-Segamat di sini pukul 10.55 malam.

Menurutnya, arwah yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik merupakan pelajar semester kedua Sijil Teknologi Penyejukan dan Penyaman Udara kolej berkenaan maut ketika menerima rawatan di Hospital Segamat.

Jelas peniaga itu, Darwish bekerja sambilan sebagai tukang gunting rambut berhampiran rumah terlibat dalam nahas sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bekerja.

“Sewaktu perjalanan pulang dari urusan di bandar Tangkak pagi semalam, saya lalu depan kolej Darwish. Kebetulan Darwish ada di depan kolej dan lambai ke arah saya.

“Darwish seorang anak yang baik, rapat dan manja dengan keluarga serta sering membantu ibu bapa dalam urusan harian,” katanya.

Kamarul Hafiz menambah, anaknya itu berkawan rapat dengan seorang lagi mangsa yang maut, Muhammad Alauddin Shah Zulkarnain, 20 yang turut bekerja di kedai gunting tersebut.

Bercerita lanjut, Kamarul Hafiz berkata, sepatutnya Darwish menyertai kursus gunting rambut di Segamat pada pagi ini.

“Darwis cukup berminat dengan bidang gunting rambut dan cukup disenangi dengan majikannya dan pelanggannya.

“Sebelum ini, Darwis ada beritahu saya tentang kursus gunting rambut di Segamat yang akan disertai pada pagi Sabtu. Tetapi tidak sangka hajatnya itu tidak kesampaian,” katanya dengan penuh hiba.

Jenazah Muhammad Darwish selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kontang, di sini, manakala rakan baiknya yang turut maut, Muhammad Alauddin Shah Zulkarnain dikebumikan di Parit Bakar, Muar.

Sementara itu, penunggang motosikal, Sky Chang Ji Shiang, 20 dan pembonceng, Pang Chong Chong, 18 yang maut di lokasi kejadian dijadual disemadikan lusa.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib, berkata, laporan berhubung kemalangan maut terbabit diterima pada pukul 10.55 malam.

Nahas melibatkan tiga lelaki dan seorang remaja perempuan berusia antara 18 hingga 20 tahun.

“Tiga mangsa iaitu penunggang motosikal Yamaha 135LC dan penunggang Yamaha Y15ZR serta pembonceng, remaja perempuan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Seorang lagi penunggang motosikal Yamaha 135LC meninggal dunia di Hospital Tangkak di sini, semasa mendapatkan rawatan.

“Pemandu kereta Perodua Myvi bersama penumpang tidak mengalami kecederaan,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast