Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Enam pas perjalanan Rapid diberi penjenamaan semula dengan nama baharu dalam Bahasa Melayu bagi menyeragamkan identiti semua pas perjalanan di bawah jenama Rapid mulai 1 November 2025.

Enam pas tersebut adalah MyTourist Pass yang dijenamakan sebagai Rapid Kembara, Rapid Kota (MyCity Pass), Rapid Mesra (Pas OKU Smile), Rapid Keluarga (Pas Keluarga Malaysia), Rapid Pelajar (MyRapid Pelajar), dan Rapid Emas (MyRapid Warga Emas).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan, penjenamaan semula pas perjalanan ini menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya bagi memartabatkan bahasa kebangsaan.

Inisiatif ini merupakan sebahagian persediaan Prasarana menuju Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY2026) serta memperkaya pengalaman pelancong tempatan dan antarabangsa.

“Penjenamaan semula ini bukan sekadar penyegaran visual, tetapi langkah strategik untuk memperkukuh identiti jenama Rapid agar lebih dekat di hati rakyat dan mudah difahami pengguna,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, Amir turut memperkenalkan #RakanRapid untuk menggambarkan kehidupan seharian masyarakat yang menggunakan pengangkutan awam.

“Karakter #RakanRapid mewakili pelbagai kelompok pengguna aktif, bergaya, kreatif, berkeluarga, pencinta budaya, penggemar makanan, dan individu berkeperluan khas yang mencerminkan kepelbagaian gaya hidup, latar, dan aspirasi masyarakat,” katanya pada Majlis Penjenamaan Semula Pas Perjalanan Rapid di Stesen LRT Taman Perindustrian Puchong hari ini.

“Kami mahu setiap pengguna berasa bahawa mereka bukan sekadar penumpang, tetapi sebahagian daripada komuniti besar yang kami gelar #RakanRapid,” tambahnya lagi.

Dalam kenyataannya, Amir berharap komuniti #RakanRapid dan Prasarana mampu bersama-sama menuju ke arah pengangkutan awam yang lebih mampan, inklusif dan progresif. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast