Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – ASEAN menaruh harapan terhadap rundingan yang sedang berlangsung antara Amerika Syarikat (AS) dan China, di sini, esok.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kestabilan serantau bergantung kepada keupayaan dua kuasa besar itu untuk mencapai persefahaman.

“Kita telah mendengar tentang perbincangan yang sedang dijalankan antara AS dan China. Saya tidak menetapkan sebarang jangkaan, tetapi saya berharap mereka akan mencapai kata sepakat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas mempengerusikan Mesyuarat Bersama Menteri-Menteri Luar dan Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini.

Mohamad berkata, ASEAN berharap agar kedua-dua negara itu ‘rasional’ kerana langkah tersebut akan memberi kesan positif kepada seluruh rantau ini.

Kenyataan itu mencerminkan keprihatinan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 terhadap keseimbangan geopolitik semasa, di mana hubungan AS-China sering menjadi penentu kepada arah aliran ekonomi dan keselamatan serantau.

Terdahulu, menjawab soalan mengenai laporan ASEAN Geoeconomic Task Force (AGTF) yang ditubuhkan selepas sesi khas bersama Presiden AS Donald Trump, Mohamad berkata, ASEAN akan meneliti dapatan tersebut di peringkat rasmi sebelum melibatkan pihak berkaitan untuk pelaksanaan seterusnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast