Remaja hilang Alicia Tening Clement yang dilaporkan hilang sejak 18 Oktober lepas. Gambar: PDRM.

KUALA LUMPUR – Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat di kediamannya di Pangsapuri Seroja, Jalan Indah 3, Taman Puchong Indah, Selangor pada 18 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan mangsa, Alicia Tening Clement, kira-kira pukul 5.59 petang semalam.

Menurutnya, mangsa berbangsa Kayan itu mempunyai ketinggian 154 sentimeter, berat badan 50 kilogram, berkulit cerah, berambut hitam pendek paras bahu dengan bentuk hidung dan mata biasa, serta bermulut nipis.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai keberadaan remaja ini diminta segera menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di talian 03-78627222 atau 03-78627100 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pihak polis kini giat menjalankan usaha mengesan mangsa bagi memastikan keselamatannya terjamin. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast