JOHOR BAHRU – Pas Johor melalui Khidmat Malaysia Negeri Johor akan menggerakkan pasukan petugas dan sukarelawan bagi membantu mangsa banjir di Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
Pesuruhjaya Badan Perhubungan Pas Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, ketika ini sumbangan dalam bentuk keperluan asas, makanan, pakaian serta kewangan sedang dikumpulkan.
Jelasnya, semua bantuan tersebut akan dihantar ke lokasi bencana dalam masa terdekat.
“Saya menyeru seluruh rakyat Johor khususnya para penyokong dan ahli Pas agar bersama-sama menyumbang bagi meringankan beban saudara-saudara kita yang terjejas akibat banjir ini.
“Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun berikut Perhubungan Pas Negeri Johor dengan menggunakan CIMB Bank, nombor akaun 800 696 7429.
“Untuk maklumat lanjut dan urusan penyelarasan bantuan, sila hubungi Pengerusi Khidmat Malaysia Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil 019-7701830,” katanya dalam kenyataan.
Jumlah mangsa banjir di Pulau Pinang dan Kedah terus meningkat kepada 2,885 orang setakat pukul 8 pagi ini, banding 1,756 semalam.
Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 1,027 mangsa daripada 280 keluarga di Pulau Pinang ditempatkan di tujuh Pusat Penempatan Sementara (PPS) yang dibuka di tiga daerah.- MalaysiaGazette















