Datuk Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dipecat, Datuk Wan Saiful Wan Jan mempersoalkan tindakan Setiausaha Agung parti itu yang mengeluarkan satu pekeliling baharu bertarikh 25 Oktober 2025 tanpa kelulusan mesyuarat MPT.

Menurut Wan Saiful, setakat pengetahuannya, tiada sebarang mesyuarat MPT diadakan bagi meluluskan pekeliling berkenaan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai prosedur baharu yang diperkenalkan oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Mungkin Azmin perkenalkan prosedur baharu pengeluaran pekeliling yang tidak lagi perlu diangkat ke MPT terlebih dahulu. Tak apalah, mereka berkuasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menyifatkan, pekeliling tersebut sebagai satu langkah terdesak oleh Azmin yang didakwanya kehilangan pengaruh dan sokongan dalam parti.

“Apabila tiada pengaruh dan tiada sokongan, maka yang tinggal hanyalah kuasa untuk diperguna,” katanya.

Wan Saiful turut memetik satu kenyataan dalam pekeliling itu yang menyebut:

“Tindakan mana-mana ahli parti yang bersekongkol dan menyokong segelintir individu yang telah dijatuhkan hukuman oleh Lembaga Disiplin adalah nyata melanggar Perlembagaan dan Tatakelakuan Ahli Parti.”

Katanya, kenyataan tersebut bercanggah dengan amalan sebelum ini kerana tidak pernah dalam sejarah Bersatu, ahli parti dihalang daripada bertemu dengan mana-mana individu yang dikenakan tindakan disiplin.

“Lagipun keputusan belum dimuktamadkan oleh Lembaga Rayuan,” ujarnya.

Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor turut membangkitkan persoalan sama ada peraturan baharu itu turut terpakai kepada Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kalau benar tak boleh bertemu mereka yang dikenakan tindakan disiplin, kenapa Azmin Ali tak sebut perkara ini kepada Tan Sri Muhyiddin semasa beliau sendiri bertemu Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir?

“Bukankah mereka juga pernah gugur keahlian Bersatu akibat penguatkuasaan disiplin?” soalnya.

Beliau turut mempersoalkan sama ada peraturan baharu itu dikeluarkan secara tergesa-gesa hingga menyebabkan ketidakselarasan dalam pelaksanaannya.

“Adakah dalam Bersatu sekarang peraturan parti tidak terpakai kepada Tan Sri Muhyiddin dan orang sekelilingnya?

“Atau adakah peraturan baharu ini dikeluarkan tergesa-gesa hingga terlupa bahawa Presiden sendiri melanggarnya?” tambah beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast