Ibu kepada Allayarham Zayn Rayyan Matin, Ismanira Abdul Manaf ketika hadir ke mahkamah bagi sambungan membela diri atas pertuduhan mengabaikannya anaknya di Mahkamah Petaling Jaya, Selangor. Foto HARI ANGGARA, 23 JULAI 2025. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Keputusan sama ada Ismanira Abdul Manaf disabitkan atau dibebas daripada pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matin akan ditentukan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Jumaat ini.

Hakim Dr. Syahliza Warnoh dijadual menyampaikan keputusan tersebut pada akhir kes pembelaan selepas meneliti hujahan bertulis pihak peguam dan pasukan pendakwaan.

Pihak pembelaan memfailkan hujahan bertulis pada 18 September lalu dan dibalas oleh pihak pendakwaan pada 1 Oktober.

Peguam Ramzani Idris bersama Peguam, Haresh Mahadevan, bercakap pada media berkenaan Ibu bapa Zayn Rayyan Abdul, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf selepas mendengar keputusan pertuduhan pengabaian kanak-kanak di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya. Foto AIZAT ZAINAL, 21 JULAI 2025.(GAMBAR FAIL)

Dalam penghujahan bertulisnya, pasukan peguam antara lain menghujahkan, Ismanira berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan bahawa tiada pengabaian dilakukan terhadap anaknya.

Ini dapat dibuktikan melalui keterangan saksi pembelaan kelima (SD5), Pakar Psikologi Kanak-Kanak, Dr. Noor Aishah Rosli yang diakui oleh saksi pendakwaan ke-28 (SP28) bahawa keterangan pakar perlu untuk membuktikan pengabaian.

“SD5 yang merupakan saksi terakhir pembelaan telah memberi pendapat pakar bahawa untuk menilai elemen-elemen pengabaian, kita tidak boleh lihat pada satu aspek tunggal sahaja.

“Aspek sebelum kejadian melibatkan hubungan ibu dan anak, semasa kejadian serta selepas kejadian perlu diteliti. SD5 menyatakan keadaan kes ini tidak menunjukkan tertuduh telah mengabaikan Allahyarham Zayn Rayyan.

“SD5 juga menyatakan jika ada penglibatan pihak ketiga yang menyebabkan kematian Zayn Rayyan, tertuduh tidak boleh dimasukkan sebagai orang yang telah mengabaikan kanak-kanak itu,” demikian hujahan pembelaan.

Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf hadir di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Selangor bagi mendengar keputusan representasi untuk menyemak pertuduhan mengabaikan Zayn Rayyan Abdul Matiin. Foto AIZAT ZAINAL, 6 Disember 2024. (GAMBAR FAIL)

Pasukan peguamnya turut melahirkan kekhuatiran bahawa sebahagian naratif yang timbul dalam perbicaraan kes itu kelihatan dipengaruhi oleh pandangan dan spekulasi umum atau media sosial sebagaimana yang boleh dilihat dalam kes Zara Qairina Mahathir.

Oleh yang demikian, hakim bicara yang mendengar kes pengabaian kanak-kanak autisme itu perlu berhati-hati agar tidak terperangkap dengan naratif sedemikian.

“Keputusan hanya boleh dibuat berasaskan keterangan yang sah serta diterima masuk di hadapan mahkamah dan bukannya berdasarkan kepada sentimen orang awam atau netizen,” hujah pembelaan.

Sementara itu, pasukan pendakwaan pula menghujahkan, keterangan ikut keadaan menunjukkan semasa Allahyarham Zayn Rayyan berada di bawah jagaan Ismanira, tertuduh telah mendedahkan kanak-kanak itu kepada kemungkinan berlakunya kecederaan.

Hujah pendakwaan, keterangan dua saksi kanak-kanak (SP14 dan SP15) menunjukkan, Zayn Rayyan telah dibiarkan berlari seorang diri ke arah kebun di belakang Blok R. Jelas pada masa material, tertuduh tidak dilihat mengejar anaknya bagi mengelakkannya terus pergi ke arah kebun tersebut.

“Persoalan yang timbul, di manakah tertuduh berada ketika itu kerana kedua-dua saksi kanak-kanak tersebut tidak langsung melihat kelibatnya?” demikian hujah pendakwaan.

“Perlakuan tertuduh yang membiarkan Zayn Rayyan berjalan di belakang ketika sedang menaiki tangga ke tingkat atas telah mendedahkan kanak-kanak itu kepada keadaan yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan kerana mangsa tidak lagi berada dalam pandangan ibunya,” demikian hujah pendakwaan.

Menurut pasukan itu, sebagai seorang ibu kepada kanak-kanak autisme, tertuduh sepatutnya memimpin tangannya atau memastikan anaknya di hadapan, bukan dibelakang, setelah mengetahui Zayn Rayyan melarikan diri, tertuduh sepatutnya terus lari mengejar dan mencarinya.

“Namun malang sekali untuk kes ini, tertuduh tidak berbuat sedemikian malah tidak mempedulikan anaknya dan hanya mementingkan diri sendiri dengan menghantar barang yang dibawa ke dalam rumah terlebih dahulu sebelum mencarinya semula. Ini dapat dilihat dengan jelas melalui rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV),” hujah pendakwaan.

Ismanira, 30, didakwa atas pertuduhan pindaan, sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan jam 9.55 malam, keesokannya.

Justeru dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sepanjang prosiding berlangsung, tertuduh diwakili peguam- peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh Mahadevan manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast