Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Beberapa stesen Rapid KL akan ditutup sementara selama dua jam bermula 4 hingga 6 petang ini atas faktor keselamatan sempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) memaklumkan, penutupan itu melibatkan tiga laluan utama iaitu Laluan Kelana Jaya, Laluan Putrajaya dan Laluan Kajang.

“Bagi Laluan Kelana Jaya, stesen yang terlibat ialah Ampang Park dan KLCC. Manakala bagi Laluan Putrajaya, penutupan melibatkan stesen Conlay, Persiaran KLCC serta Ampang Park. Stesen Bukit Bintang turut terlibat bagi Laluan Kajang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rapid Rail turut menyarankan pengguna menggunakan laluan alternatif sepanjang tempoh penutupan itu.

Antara stesen yang disarankan ialah Stesen Monorel Bukit Nanas, Stesen Raja Chulan dan Stesen Bukit Bintang.

“Penumpang di Laluan Kelana Jaya juga boleh menggunakan Stesen Kampung Baru yang dihubungkan menerusi Jambatan Saloma,” tambahnya.

Menurut Rapid KL, semua stesen lain yang tidak terlibat dalam penutupan berkenaan akan terus beroperasi seperti biasa mengikut jadual harian.

Selain itu, pengguna turut disaran merancang perjalanan lebih awal dan mendapatkan maklumat terkini mengenai status operasi menerusi media sosial rasmi Rapid KL atau aplikasi PULSE. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast