Peserta berhimpun di Dataran Merdeka pagi ini bagi menyuarakan bantahan terhadap kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang hadir pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Foto MUHAIMIN MARWAN, 26 OKTOBER 2025

KUALA LUMPUR – Seramai kira-kira 200 individu berhimpun di Dataran Merdeka pagi tadi bagi menyatakan bantahan terhadap kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang dijadual tiba untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Peserta perhimpunan dilihat mengibarkan bendera Palestin serta membawa plakad yang mengecam kekejaman rejim Zionis, selain melaungkan slogan ‘Free Palestine’ sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin.

Himpunan aman anjuran beberapa badan bukan kerajaan (NGO) itu turut disertai Pengerusi Biro Antarabangsa Parti Amanah Negara (Amanah), Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad serta aktivis politik, Tian Chua yang juga bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Turut hadir yang lain ialah bekas Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin dan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Menurut kenyataan penganjur yang dikeluarkan pagi tadi, lokasi asal himpunan di Ampang Park terpaksa dipindahkan ke Dataran Merdeka selepas kawasan berkenaan ditutup dan dikawal ketat oleh pihak polis.

Mereka turut menyifatkan tindakan menutup laluan ke lokasi asal itu sebagai bentuk penafian terhadap hak rakyat untuk berhimpun secara aman sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadil Marsus mengingatkan penganjur agar tidak meneruskan sebarang perhimpunan berhampiran ‘zon merah’ Sidang Kemuncak ASEAN dan menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil jika arahan itu tidak dipatuhi.

Dalam perkembangan berkaitan, kira-kira 50 penunggang motosikal yang berkonvoi membawa bendera Palestin dari Kampung Pandan ke Kedutaan AS turut ditahan dalam sekatan jalan raya sekitar jam 10.00 malam tadi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast