Peserta berhimpun bagi menyuarakan bantahan terhadap kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Himpunan Bantah Trump di Dataran Merdeka. Foto MUHAIMIN MARWAN, 26 OKTOBER 2025

KUALA LUMPUR – Himpunan Bantah Kehadiran Trump bukan sahaja disertai rakyat tempatan malah warga asing yang tinggal di negara ini juga tidak ketinggalan untuk meluahkan rasa tidak puas hati terhadap peranan Presiden Amerika Syarikat itu dalam Perang Gaza.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati sekumpulan pengunjung dari Syria, Sudan, Yaman dan Palestin hadir bagi menyuarakan penolakan terhadap kunjungan Donald Trump yang disifatkan sebagai simbol kezaliman dan penindasan ke atas rakyat Palestin.

Naya, 29, warga Syria berkata, penyertaan di dalam himpunan ini adalah caranya untuk membantu rakyat Gaza yang telah menderita selama 70 tahun.

“Kami tidak mampu membantu secara langsung di sana, jadi kehadiran kami di sini adalah tanda solidariti,”

“Kami mahu rakyat Palestin tahu bahawa mereka tidak bersendirian,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.

Selain itu, Shasha, 33, gadis kacukan Sudan dan Palestin juga membantah alasan bahawa jemputan Trump dibuat atas dasar ekonomi dan hubungan antarabangsa.

“Trump hanyalah ahli perniagaan yang mementingkan diri, segala keputusan yang dia buat hanya untuk menguntungkan dirinya dan sekutunya,” ujarnya.

Di samping itu, sekumpulan pengunjung tempatan turut berkongsi pandangan sama, menyifatkan jemputan terhadap Trump sebagai langkah yang bercanggah dengan pendirian Malaysia selama ini.

Sementara itu, warga tempatan yang ditemui MalaysiaGazette Harjinder Kler, 49, berkata trump penyokong kuat Zionisme dan tidak sepatutnya disambut meskipun atas dasar hubungan ekonomi atau ASEAN.

“Ia satu tindakan yang hipokrit,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.

Para peserta perhimpunan itu sepakat bahawa mesej mereka jelas iaitu menolak kezaliman, menolak penindasan dan menolak normalisasi terhadap kuasa yang menindas.

Mereka menyeru agar Malaysia kekal teguh bersama Palestin dan tidak tunduk kepada tekanan politik atau ekonomi luar. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast