KUALA LUMPUR – Seorang peguam mendakwa, tiada usaha dilakukan oleh pihak berkuasa untuk mengesan tiga individu utama dikaitkan dengan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Bank (1MDB) melibatkan Datuk Seri Najib Razak.
Datuk Hasnal Rezua Merican berkata, ketiga-tiganya ialah ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dan rakan sekutunya yang juga bekas Pengarah Eksekutif 1MDB, Terence Geh serta bekas CEO syarikat itu, Nik Faisal Ariff Kamil.
Ujar beliau, ketiga-tiga individu itu bukan sahaja tidak dikemukakan di mahkamah malah pihak pendakwaan tidak membawa saksi-saksi bagi menjelaskan keberadaan ketiga-tiganya ketika ini.

Katanya, pihak pendakwaan telah menutup kesnya namun mereka tidak mengemukakan keterangan saksi-saksi bagi menyakinkan mahkamah bahawa `rang buruan’ tersebut masih gagal dikesan.
“Mereka bukan sahaja tidak dibawa balik malah tidak dicari pun, tiada saksi yang dikemukakan bagi memberi keterangan bahawa segala usaha telah dilakukan, malangnya ketiga-tiganya tidak ditemukan.
“Kalau mahkamah mahu terima keterangan dengar cakap Jasmine Loo Ai Swan (peguam 1MDB) apa Jho Low beritahu dia, mahkamah terlebih dahulu perlu berpuas hati bahawa ahli perniagaan itu masih belum dijumpai,” ujarnya pada sesi Podcast Apa Cerita Bosku yang disiarkan dalam laman Facebook semalam.
Peguam itu ditanya mengapa hanya bekas Perdana Menteri didakwa di mahkamah walhal wujud keterangan menyatakan penglibatan Jho Low dan pengurusan tertinggi 1MDB menyeleweng dana syarikat itu.
Hasnal Rezua selanjutnya menjelaskan, untuk menjadikan ketiga-tiganya dikategorikan sebagai `orang yang tidak boleh dijumpai’ di bawah pengecualian kepada Seksyen 32(1)(b) Akta Keterangan, pendakwaan perlu membawa saksi yang menjelaskan tindakan yang telah diambil bagi mengesannya.
Ujar beliau, contohnya, saksi perlu mengemukakan keterangan bahawa pelbagai proses telah diambil termasuk mencarinya di alamat tertentu yang disyaki menjadi tempat mereka bermastautin selain menerima maklumat pihak Interpol dan menjejakinya namun tidak ditemukan.
“Semua ini perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum ketiga-tiganya dikategorikan sebagai `orang yang tidak boleh dijumpai’, namun ia tidak dilakukan,” ujar peguam tersebut.
Dua hari lalu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail menegaskan, siasatan terhadap Jho Low masih aktif dan belum ditutup.
Tegas beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa meneliti setiap perkembangan terkini dan ahli perniagaan dalam buruan itu masih dikategorikan sebagai `orang yang dikehendaki’.
Sebelum ini, terdapat dakwaan menyatakan Jho Low menetap di sebuah kawasan elit di Shanghai, China menggunakan pasport Australia palsu.
Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan hasil semakan dan maklumat yang diterima setakat ini, tidak menemukan sebarang bukti atau fakta sahih berhubung lokasi semasa Jho Low mahupun penggunaan pasport oleh individu berkenaan. – MalaysiaGazette
















