Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji keberanian dan ketegasan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dalam memperjuangkan keamanan serta kebebasan sejagat .

Tegas beliau, dunia hari ini memerlukan pemimpin yang berani membuat keputusan demi keselamatan global.

“Dunia kini berdepan cabaran besar, dan kita memerlukan pemimpin yang berani memperjuangkan keselamatan secara tegas.

“Saya menghargai keberanian beliau kerana untuk mencapai keamanan sejati, kadangkala seseorang perlu berani ‘memecahkan peraturan’, seperti yang beliau lakukan hari ini,” ucapnya sebelum berlangsungnya majlis pemeteraian perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 hari ini.

Anwar berkata, beliau memahami kepentingan untuk melindungi nyawa manusia dan memelihara kestabilan di rantau Asia yang kini menjadi tumpuan geopolitik dunia.

Katanya, usaha berterusan Trump untuk mengekalkan keamanan di pelbagai wilayah wajar dihargai dan diteruskan dengan semangat diplomasi global.

“Saya berterima kasih kepada Presiden Trump atas usahanya menjaga keamanan di banyak bahagian dunia, termasuk Asia. Saya mengajaknya untuk terus fokus memastikan keamanan yang menyeluruh seperti yang amat diperlukan dunia,” ujarnya.

Anwar turut menyatakan Malaysia dan banyak negara lain menyokong usaha AS dalam memperkukuh keamanan sejagat dengan pendekatan yang lebih inklusif.

“Kami menyeru agar inisiatif ini terus disokong oleh banyak negara, termasuk yang mungkin tidak sering mendapat perhatian dunia,” katanya.

Dalam suasana santai namun mesra, Anwar turut berkongsi detik menarik sewaktu ketibaan Trump pagi ini.

“Ketika Presiden tiba, beliau menjemput saya menaiki kenderaannya. Namun saya menjelaskan mengikut tradisi dan protokol keselamatan, saya perlu kekal menggunakan kenderaan rasmi negara tuan rumah.

“Namun beliau hanya ketawa dan mengajak saya naik keretanya, beliau seorang yang sangat baik,” katanya lagi.

Menutup ucapannya dengan nada bersahaja, Anwar sempat berseloroh mengenai nasib politik mereka berdua. “

”Saya pernah dipenjarakan dan beliau (Trump) hampir mengalami perkara yang sama,” katanya disambut derai tawa hadirin. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast