KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman mendakwa bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli menjadikan Pas sebagai sasaran untuk menghidupkan semula pengaruh politiknya selepas ditolak oleh partinya sendiri.
Syahir menegaskan sikap Rafizi yang sering menyinggung Pas dan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang bukanlah perkara baharu namun kali ini dilihat bermotifkan kepentingan survival politik peribadi.
“Sejak ditolak oleh partinya sendiri, makin kerap (Datuk Seri) Rafizi menyinggung Pas, menyinggung Presiden Pas. Tidak mengapa, ini negara demokrasi,” katanya di Facebook, hari ini.
Semalam, bekas Menteri Ekonomi itu berkata sikap pemimpin Pas yang sering memainkan naratif “dianaktirikan” setiap kali diberi mandat mentadbir negeri bukti kegagalan mereka menunjukkan pemikiran pembangunan dalam pentadbiran ekonomi.
Rafizi turut mendakwa, setiap kali Pas diberikan amanah, pendekatan yang diambil bukanlah berasaskan daya usaha membangunkan ekonomi sebaliknya berlegar pada sikap menyalahkan pihak lain.
Mengulas perkara itu, Syahir berkata langkah Rafizi yang secara terus menerus menyerang Pas merupakan taktik ahli politik yang semakin hilang pengaruh dan memerlukan modal baharu untuk terus relevan.
“Orang politik apabila sudah tidak laku, akan ‘attack’ Pas, singgung Presiden Pas, untuk naikkan semula ‘rating’nya.
“Pendekatan ini sebenarnya terpakai kepada ahli politik yang sudah terbuang, dan terperangkap di takuk pemikiran, STUCK MINDSET,” katanya sinis.
Syahir mendakwa pendekatan itu mencerminkan kelemahan idea serta jiwa kepimpinan tokoh seperti Rafizi dalam mencari hala tuju politik.
Jelasnya lagi, Pas tidak perlu melayan provokasi dangkal sedemikian kerana parti itu telah membuktikan rekod pentadbiran yang jelas di Kelantan selama puluhan tahun.
“Berbalik kepada GROWTH MINDSET, saya boleh cerakinkan dalam konteks Dasar dan Model pembangunan, pengurusan Hasil dan Perbelanjaan, juga kecemerlangan Integriti (tanpa rasuah) sepanjang 35 tahun pentadbiran Pas di Kelantan.”
Beliau menegaskan kritikan itu tidak sesuai untuk dibahaskan dengan individu yang enggan bergerak maju dari segi pemikiran dan pendekatan politik.
“Namun bukan di sini tempatnya, apatah lagi kepada ahli politik yang terperangkap di takuk pemikiran, STUCK MINDSET.”
“Kepada Rafizi, teruskan sembang ‘kedai kopi’ (podcast) seorang diri di tepi jalan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















