KUALA LUMPUR – Jabatan Penyiaran Malaysia memohon maaf atas kesilapan pengulas siaran langsung RTM bagi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang menyebut Presiden Indonesia sebagai Joko Widodo sedangkan Presiden republik itu sekarang adalah Prabowo Subianto.
Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata, RTM mengambil serius perkara itu dan tindakan sewajarnya telah diambil.
”RTM dengan ini memohon maaf kepada Presiden dan Kerajaan Republik Indonesia serta semua pihak yang terkesan akibat kesilapan ini.
”RTM juga akan meningkatkan kawalan editorial dan semakan fakta bagi memastikan setiap maklumat yang disampaikan adalah tepat serta berintegriti,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Pagi tadi, semua ketua-ketua negara ASEAN tiba di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang-sidang kemuncak berkaitan.
Turut menghadiri sidang kemuncak kali ini adalah Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. -MalaysiaGazette
















