Peserta berhimpun bagi menyuarakan bantahan terhadap kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Himpunan Bantah Trump di Dataran Merdeka. Foto MUHAIMIN MARWAN, 26 OKTOBER 2025

KUALA LUMPUR– Tindakan pihak berkuasa menukar lokasi Himpunan Solidariti Tolak Trump pada saat akhir mengundang rasa tidak puas para peserta.

Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zuraida Kamaruddin menyifatkan tindakan tersebut sebagai bacul dan tidak profesional.

Tegasnya, pertukaran lokasi daripada Ampang Park ke Dataran Merdeka tidak sepatutnya dibuat secara tergesa-gesa tanpa makluman awal kepada peserta yang sudah bersedia berhimpun.

Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zuraida Kamaruddin ketika ditemui semasa Himpunan Solidariti Tolak Trump di Dataran Merdeka, pagi tadi.

“Saya memang tunggu nak turun ke Ampang Park, tapi tiba-tiba dapat tahu lokasi ditukar. Ini menunjukkan kerajaan bacul, tak berani berdepan secara profesional.

“Kalau betul nak ubah, sepatutnya maklum awal supaya semua boleh bersedia,” katanya ketika ditemui semasa Himpunan Solidariti Tolak Trump di Dataran Merdeka, pagi tadi.

Menurutnya, himpunan berkenaan diadakan sebagai mesej jelas kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bahawa rakyat Malaysia menolak kehadirannya di negara ini serta dasar luar AS yang menyokong kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin.

“Saya ucap syukur kerana kita ada usaha untuk buat satu perhimpunan bagi menunjukkan kepada Trump bahawa rakyat Malaysia menolak kehadirannya di negara kita.

“Walaupun mungkin dia tidak dengar, tapi saya yakin berita ini akan sampai kepada dia bahawa rakyat Malaysia menolak kezaliman dan kejahatan yang dia sokong terhadap Gaza dengan membekalkan dana serta senjata,” tambahnya.

Bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu turut menyifatkan Trump sebagai seorang pemimpin hipokrit yang sering memperjuangkan nilai kemanusiaan di mulut, namun pada masa sama menyokong keganasan rejim Zionis.

“Berapa kali sudah gencatan senjata kononnya diuruskan oleh dia, tapi Israel masih menyerang. Kenapa dia tidak berani arahkan supaya berhenti? Dia seorang hipokrit,” ujarnya.

Zuraida dalam masa sama menolak pandangan bahawa kehadiran Trump ke Malaysia mampu memperkukuh ekonomi negara.

“Saya tidak setuju. Trump juga seorang pembuli dalam ekonomi. Masa saya jaga komoditi, Amerika kempen habis-habisan menolak sawit kita kononnya tidak sihat, sedangkan sawit jauh lebih baik daripada minyak mereka.

“Kalau dia datang atas alasan ekonomi, saya rasa Perdana Menteri tertipu dengan Trump,” katanya lagi.

Mengulas kehadiran media antarabangsa pada perhimpunan itu, Zuraida berkata ia membantu memperluaskan suara rakyat Malaysia ke peringkat global.

“Saya rasa ia membantu sebab sekarang kebanyakan dunia hampir 90 peratus menolak Trump. Media antarabangsa juga memainkan peranan menyebarkan mesej bahawa rakyat seluruh dunia menentang dasar kejam yang dia sokong,” jelasnya.

Himpunan Solidariti Tolak Trump yang berlangsung di Dataran Merdeka pagi tadi disertai lebih 200 peserta pelbagai latar belakang sebagai tanda bantahan terhadap kehadiran Presiden AS itu ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast