KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan singkat dengan Donald Trump sebelum Presiden Amerika Syarikat (AS) itu berlepas ke Tokyo, Jepun kira-kira jam 10.30 pagi.
Pertemuan itu turut disertai Duta Besar AS ke Malaysia, Edgard Kagan dengan kedua-dua pemimpin berkongsi pandangan secara santai.
Anwar dalam hantaran di laman sosial memuat naik beberapa keping gambar pertemuan berkenaan yang memaparkan Trump dalam mood ceria ketika meneliti gambar beliau pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.
Trump dilihat menuding ke arah beberapa gambar pemimpin sambil diperhatikan Anwar.
“Pertemuan ini memberi ruang untuk meneliti semula hasil perbincangan dua hala Malaysia–AS yang telah dijalankan sebelum ini, termasuk kerjasama strategik dalam bidang perdagangan, teknologi, dan keamanan serantau,” kata menerusi hantaran di Facebook.

Perdana Menteri turut menyampaikan penghargaan kepada Trump atas peranan beliau dalam menjayakan Perjanjian Damai Kuala Lumpur (KL Accord) serta Pelan Damai Gaza yang disifatkannya sebagai sinar harapan baharu ke arah keamanan yang adil dan berkekalan.
“Malaysia dan Amerika Syarikat bertekad untuk terus memperkukuh hubungan dua hala berasaskan saling hormat, kepentingan bersama, dan semangat memperjuangkan keamanan sejagat,” ujarnya. – MalaysiaGazette















