KUANTAN – Dua pegawai bank mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, meneriam suapan lebih RM100,000 sebagai upah memproses permohonan pembiayaan peribadi pelanggan yang melebihi had kelayakan.
Irfan Syafiq Hafizi Mohd Riduan, 30, yang menghadapi 14 pertuduhan dan Nurul Hidayatul Asyikin Zolkeple, 34, yang berhadapan dengan empat pertuduhan membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan hakim Sazlina Safie.
Menurut kertas pertuduhan, Irfan Syafiq berkhidmat sebagai pegawai pemasaran dituduh melakukan melakukan perbuatan menerima rasuah antara 6 Jun 2023 hingga 6 Disember 2024 berjumlah RM99,030.22.
Nurul Hidayatul yang berkhidmat sebagai eksekutif dituduh melakukan perbuatan menerima rasuah antara 6 Jun hingga 9 September 2024 dengan nilai rasuah berjumlah RM10,802.51.
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah perenggan 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) Akta yang sama.
Jika disabitkan kesalahan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ezuain Farhana Ahmad mengesyorkan jaminan RM20,000 bagi Irfan Syafiq Hafiz dan RM10,000 untuk Nurul Hidyatul Asyikin dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah, melaporkan diri ke Pejabat SPRM terdekat setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Hakim memutuskan wang jaminan sebanyak RM12,000 terhadap Irfan Syafiq manakala Nurul Hidayatul sebanyak RM7,000 dengan jaminan seorang pencagar warganegara.
Selain itu mereka perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM terdekat pada setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada pihak mahkamah sehingga kes selesai dibicarakan.
Kes akan disebut semula secara berasingan pada 9 dan 12 Disember hadapan. – MalaysiaGazette
















