KUALA LUMPUR – Penyelesaian isu Laut China Selatan perlu dicapai menerusi ASEAN serta rakan serantau, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, isu itu tidak boleh didorong atau dipaksa oleh kuasa luar kerana boleh menimbulkan ketegangan serta kesukaran.
Tambah beliau, setakat ini, isu itu disifatkan masih terkawal dengan semua pihak telah bersetuju untuk merangka Kod Tatalaku (CoC) di Laut China Selatan.
“Kita terus menggesa semua pihak untuk terlibat dalam rundingan ini berdasarkan prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf sejagat, terutamanya Konvensyen PBB mengenai Undang-undang Laut 1982 (UNCLOS 1982) dan Kod Tatalaku yang sedang dirangka,” katanya.
Beliau berucap pada pembukaan Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-20 bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
Sementara itu, berhubung krisis di Myanmar, Anwar berkata, sepanjang tahun lalu, konflik di negara tersebut memperlihatkan perkembangan yang sangat positif meskipun masih terdapat beberapa insiden tembakan pada skala kecil yang dilaporkan.
Jelas beliau, Malaysia menerusi Kementerian Luar juga telah menjemput kesemua 27 kumpulan pembangkang dan minoriti di negara itu ke Kuala Lumpur bagi menyertai sesi perbincangan.
“Mereka hadir dan mengambil bahagian secara positif dan saya menyeru negara anggota meneruskan penglibatan dan bantuan kemanusiaan serta membenarkan Myanmar mengurus hal ehwal negara itu melalui mekanisme nasional mereka sendiri, dengan penglibatan semua pihak berkepentingan,” katanya. – MalaysiaGazette
















