Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir

KUALA LUMPUR –  Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa memastikan setiap pelajar yang memohon ke institusi pengajian tinggi (IPT) melalui proses semakan dan tapisan rekod bagi menjamin ketelusan serta integriti kemasukan.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, setiap pelajar mempunyai rekod tertentu yang akan diperhatikan oleh pihak universiti sebelum keputusan kemasukan dimuktamadkan.

“Setiap pelajar akan ada rekod-rekodnya. Jadi, soal sama ada akan buat (tapisan), bagi saya dan bagi peringkat universiti, telah pun mereka lakukan.

“Kami pastikan supaya mereka yang ada rekod-rekod tertentu akan diperhatikan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan Blackberry Technology Malaysia Sdn Bhd di W Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Zambry, mereka yang mempunyai rekod jenayah sukar diterima masuk ke universiti walaupun mempunyai keputusan akademik yang baik.

“Kalau sekiranya ada kes jenayah, jadi tak mungkinlah mereka dapat (tempat), selain daripada mungkin keputusan mereka yang terbaik.

“Namun, keputusan akhir berhubung perkara itu diserahkan kepada Unit Pusat Universiti (UPU) dan pihak universiti masing-masing,” tambahnya.

Bagaimanapun, Zambry menjelaskan bahawa urusan tapisan tersebut diserahkan kepada UPU dan pihak universiti untuk dinilai, dan proses itu sebenarnya telah pun dilaksanakan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast