Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia

PUTRAJAYA – Median upah bulanan bagi pekerja formal adalah sebanyak RM2,864 pada Jun 2025, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, pasaran buruh Malaysia kekal kukuh pada suku tahun kedua 2025, disokong oleh peningkatan berterusan penduduk bekerja.

Bilangan pekerja formal warganegara juga terus menunjukkan peningkatan tahun ke tahun, mencatatkan pertumbuhan sebanyak 3.5 peratus (April 2025: 3.3%; Mei2025: 3.5%) kepada 6.97 juta orang pada Jun 2025.

Sementara itu, median upah bulanan terus mencatatkan kenaikan masing-masing sebanyak 3.6 peratus, 5.4 peratus dan 4.3 peratus pada April, Mei dan Jun 2025.

Dari segi perbandingan mengikut jantina,pekerja formal lelaki menyumbang 55.1 peratus (3.84 juta orang) daripada jumlah pekerja formal pada Jun 2025, menerima RM100 lebih daripada perempuan bagi median upah bulanan.

Median upah bulanan pekerja formal lelaki adalah RM2,900 manakala pekerja formal perempuan yang menyumbang 44.9 peratus (3.13 juta orang) daripada jumlah pekerja formal keseluruhan memperoleh median upah bulanan sebanyak RM2,800.

Melihat kepada perincian statistik upah mengikut kumpulan umur menunjukkan semua kumpulan umur mencatatkan kenaikan tahun ke tahun yang konsisten untuk median upah bulanan.

Pertumbuhan tertinggi dicatatkan dalam kalangan pekerja pada umur bawah 20 tahun dengan menerima median upah bulanan sebanyak RM1,700 pada Jun 2025, meningkat sebanyak 13.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pada tempoh ini, pekerja formal berumur 45 hingga 49 tahun memperoleh median upah bulanan tertinggi iaitu RM3,800 pada Jun 2025.

Mengulas situasi upah merentasi aktiviti ekonomi juga menunjukkan semua sektor mencatatkan peningkatan median upah bulanan sepanjang ketiga-tiga bulan pada suku tahun kedua 2025.

Sektor perlombongan & pengkuarian hanya membentuk 0.6 peratus daripada keseluruhan pekerja formal, mencatatkan pertumbuhan median upah bulanan tertinggi tahun ke tahun sebanyak 10.2 peratus, mencapai RM6,500 pada Jun 2025.

Sebaliknya, sektor pertanian yang mewakili 1.9 peratus daripada pekerja formal mencatatkan median upah bulanan terendah pada RM2,200 menunjukkan pertumbuhan tahun ke tahun kepada 10.0 peratus dalam tempoh yang sama.

Mengulas lanjut mengenai situasi upah mengikut negeri pada Jun 2025, Mohd Uzir berkata, median upah bulanan mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun yang positif bagisemua negeri pada suku tahun kedua 2025.

Tiga negeri melepasi median upah bulanan nasional RM2,864, dengan Kuala Lumpur mencatatkan median upah bulanan tertinggi pada RM4,064, diikuti Selangor RM3,145 dan Pulau Pinang RM2,927.

Sementara itu, median upah bulanan terendah direkodkan di Kelantan iaitu RM1,764, diikuti Perlis RM1,800, serta Sabah dan Kedah iaitu RM2,000, pada tempoh yang sama.

Menyentuh mengenai taburan upah, Ketua Perangkawan menambah, 10.4peratus daripada jumlah pekerja formal warganegara menerima upah bulanan bawah RM1,700 pada Jun 2025, berkurang sebanyak 12.2mata peratus berbanding Jun 2024.

Selain itu, analisis persentil menunjukkan 10 peratus pekerja formal Malaysia terendah menerima upah bulanan sebanyak RM1,664 atau kurang setiap bulan, manakala pekerja formal dalam persentil ke-90 menerima sekurang-kurangnya RM9,200 setiap bulan.

Perbezaan ini menunjukkan pekerja pada persentil ke-90 menerima lima kali ganda upah daripada kumpulan upah terendah, menggambarkan jurang upah antara mereka yang berpendapatan tertinggi dan terendah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast