KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan (MOT) mengakui berdepan kekangan dari segi peruntukan dan sumber bagi menambah baik kemudahan serta fasiliti yang dapat menggalakkan penggunaan pengangkutan awam di negara ini.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, bagi mengatasi cabaran itu, MOT kini mengambil pendekatan kerjasama rentas kementerian dan agensi bagi memperkasa keseluruhan ekosistem perkhidmatan pengangkutan awam.
Menurut beliau, penyertaan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sektor swasta turut digalakkan bagi memastikan pembangunan kemudahan sokongan seperti perhentian bas dan laluan pejalan kaki dapat dilaksanakan dengan lebih menyeluruh.
“Ekosistem penggunaan pengangkutan awam mesti menyeluruh, bukan hanya tertumpu pada perkhidmatan bas semata-mata tetapi turut melibatkan kemudahan seperti perhentian bas dan laluan pejalan kaki.
“Namun, ia memerlukan kerjasama semua pihak. MOT akan bantu sedaya upaya, tetapi kita berdepan kekangan dari segi peruntukan dan sumber,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH–Kota Melaka) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Loke berkata, kerjasama dengan PBT amat penting, khususnya dalam penyediaan tapak dan pembinaan perhentian bas yang diyakini mampu menambah baik akses rakyat kepada perkhidmatan pengangkutan awam.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban memaklumkan, kementeriannya turut menggalakkan pelaksanaan model kerjasama awam-swasta (PPP) bagi memperluas penyediaan hentian bas di seluruh negara.
“Kita menawarkan model ‘menang-menang’ kepada pihak swasta. Sebagai contoh, mereka dibenarkan mempamerkan iklan pada hentian bas yang dibangunkan,” jelasnya.
Sementara itu, ketika menjawab soalan asal Poay Tiong mengenai jumlah terkini pengguna perkhidmatan BAS.MY di bawah Program Transformasi Bas Berhenti-henti (SBST), Anthony memaklumkan bahawa sehingga Ogos lalu, sebanyak 49,611 pengguna telah menikmati kemudahan bas percuma yang disediakan kepada warga emas, pelajar sekolah, mahasiswa dan orang kelainan upaya (OKU).
Daripada jumlah itu, 78 peratus merupakan warga emas, diikuti pelajar sekolah (13 peratus), OKU (enam peratus) dan mahasiswa (tiga peratus).
Tambahnya, penggunaan kad konsesi BAS.MY paling tinggi dicatatkan di Johor Bahru, Kuching, Ipoh, Seremban dan Melaka.
“Sehingga bulan ini, perkhidmatan BAS.MY telah beroperasi di Kangar, Kota Setar, Ipoh, Seremban, Melaka, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kota Bharu dan Kuching.
“Perkhidmatan ini juga sedang diperkenalkan secara berfasa di Kota Kinabalu,” katanya. – MalaysiaGazette
















