Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir pada Pembentangan Belanjawan 2026 Malaysia MADANI di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 10 OKTOBER 2025

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan sambutan keterlaluan yang diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sebagai tindakan yang memalukan dan mencemarkan maruah diplomatik negara.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut berkata, sambutan penuh kemeriahan dan simbolik berlebihan yang diberikan kepada pemimpin itu menimbulkan persoalan besar sama ada Malaysia kini menilai hubungan diplomatik berdasarkan status tetamu semata-mata dan bukan prinsip kemanusiaan.

“Saya memandang serius sambutan keterlaluan yang diberikan oleh Perdana Menteri ke atas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sewaktu ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

“Sambutan penuh kemeriahan, keceriaan dan simbolik yang berlebihan itu menimbulkan persoalan besar apakah Malaysia kini menilai maruah diplomatik berdasarkan status tetamu, bukan prinsip kemanusiaan?” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Muhyiddin mengingatkan beliau sebelum ini telah menegur di Dewan Rakyat berhubung ketidakwajaran meraikan Trump secara meriah.

Jelasnya, sambutan itu nyata bercanggah dengan derita yang dirasai oleh rakyat Palestin akibat serangan kejam rejim Zionis Israel di Gaza.

“Sambutan sedemikian memberi gambaran seolah-olah Malaysia begitu teruja meraikan kedatangan tokoh yang secara terbuka bersekongkol dengan rejim Zionis Israel melakukan jenayah genosid terhadap rakyat Palestin di Gaza,” katanya.

Beliau turut menyifatkan tindakan Anwar yang dilihat menari bersama-sama Trump sebagai sesuatu yang amat mengguris perasaan rakyat Malaysia yang bersimpati terhadap penderitaan rakyat Palestin.

“Perdana Menteri sering berapi-api mengutuk kekejaman Israel dan konco-konconya. Namun, semangat itu tiba-tiba luntur digantikan dengan senyuman lebar dan sambutan hangat terhadap individu yang menyokong rejim Zionis Israel,” katanya lagi.

Menurutnya, Trump adalah simbol keangkuhan dasar luar Amerika Syarikat yang secara terang-terangan melindungi kekejaman rejim Zionis dan menindas rakyat Palestin tanpa rasa bersalah.

Malah katanya, Malaysia perlu kekal tegas dalam pendirian menentang kezaliman Israel dan tidak tunduk kepada kepentingan politik luar yang bertentangan dengan prinsip kemanusiaan sejagat.

“Menyambut tokoh seperti ini dengan keghairahan melampau adalah amat memalukan Malaysia,” tegas beliau lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast