ISKANDAR PUTERI – Satu jawatankuasa khas digesa ditubuhkan untuk menangani kes pemerdagangan manusia melibatkan rakyat negara ini termasuk dari mana sindiket mendapat data-data mangsa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim berkata, sindiket terbabit mempunyai sasaran menerusi data yang diperoleh untuk memudahkan mangsa dijerat sebelum diperdaya.
Beliau memberitahu, Pusat Khidmat ADUN Skudai menerima lapan aduan berkenaan kes sindiket pemerdagangan manusia yang melibatkan rakyat negara ini dalam tahun ini setakat ini.
Antara kes paling banyak adalah memperdaya tawaran kerja dengan menjadikan mereka sebagai scammer.
“Kes seumpama itu cukup membimbangkan susulan pendedahan dibuat mangsa sindiket panggilan scammer yang mendakwa data peribadi lengkap rakyat di negara ini mudah diakses terutama membabitkan maklumat kakitangan kerajaan.
“Tidak hairanlah, ramai anak muda tidak kira bangsa Cina, Melayu dan India jadi sasaran sindiket untuk diupah sebagai scammer kerana boleh mendatangkan keuntungan besar.
“Malah sindiket kini turut menyasarkan anak muda Melayu dengan tawaran kerja bergaji lumayan dalam mata wang dolar Amerika untuk menarik pekerja dari Malaysia,” katanya pada sidang media di Pejabat ADUN Skudai di sini hari ini.
Terdahulu dalam sidang media yang sama, seorang mangsa sindiket perdagangan manusia di Kemboja yang hanya mahu dikenali sebagai Joe menceritakan pengalamannya diperdaya dan dipaksa menjadi scammer selama empat bulan sebelum berjaya pulang ke tanah air pada Ogos lalu.
Marina seterusnya berkata, lapan aduan berkaitan kes itu yang diterimanya adalah tawaran kerja di luar negara termasuk aduan daripada ibu bapa sendiri.
“Daripada jumlah itu, dua mangsa berjaya diselamatkan termasuk kes terbaharu membabitkan seorang pemuda bernama Joe yang mulanya ditawarkan sebagai pembakar sate tetapi ditipu dan dipaksa menjadi scammer.
“Sementara enam lagi masih belum dibawa pulang. Kes melibatkan negara seperti Kemboja, Taiwan, Myanmar dan Vietnam,” katanya.
Bercerita lanjut tentang kisah Joe, beliau berkata, pihaknya mendapat panggilan terus daripada lelaki itu untuk diselamatkan pada Julai lepas.
“Saya memohon bantuan daripada Wisma Putra dan Kementerian Luar. Alhamdulillah, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan memberikan kerjasama baik dan menghantar pegawai ke Sihanouk, Kemboja,” katanya.
Proses membawa pulang mengambil masa kira-kira tiga minggu, ujarnya.
Marina turut menasihatkan golongan muda agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran pekerjaan bergaji lumayan di luar negara yang sering disebarkan melalui kenalan atau media sosial.
“Kita faham anak muda kini teruja mencari rezeki dan tertarik dengan tawaran gaji lumayan namun jangan mudah terpedaya apatah lagi jika ia datang daripada kenalan atau rakan rapat.
“Ramai ibu bapa yang datang ke pejabat ADUN meminta saya memujuk anak mereka supaya tidak mempercayai tawaran kerja di luar negara yang kononnya menjanjikan pendapatan tinggi, sedangkan hakikatnya indah khabar daripada rupa,” katanya.- MalaysiaGazette
















