Suhaizan Kaiat

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen kerajaan mendesak agar Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN–Kota Bharu) dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen susulan kenyataannya yang menuduh anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melakukan serangan terhadap Masjid Rusila di Marang, Terengganu.

Usul berhubung perkara itu telah dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat (PH) kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan kini ia sedang dalam pertimbangan.

Menurut Suhaizan, kenyataan yang dibuat Takiyuddin ketika perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 pada 22 Oktober lalu adalah tidak wajar dan boleh menjejaskan maruah serta integriti Dewan Rakyat.

“Saya telah memohon agar Yang Dipertua menimbangkan untuk memanggil Yang Berhormat Kota Bharu supaya menarik balik kenyataannya dan memohon maaf kepada dewan.

“Sekiranya perkara ini tidak ditangani sewajarnya, saya mencadangkan agar ia dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen untuk siasatan lanjut selaras dengan Peraturan 36(12) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Pada Khamis lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan, dakwaan kononnya anggota APMM menyerbu Masjid Rusila hanyalah salah faham yang telah diselesaikan oleh pihak berkuasa.

Saifuddin menjelaskan, kejadian sebenar hanya melibatkan enam anggota APMM yang singgah menunaikan solat Asar ketika menjalani latihan terancang di kawasan berkenaan dan perkara itu tidak seharusnya disalah tafsir.

Sebelum ini, Takiyuddin ketika berbahas di Dewan Rakyat membangkitkan kebimbangan mengenai latihan yang didakwa dijalankan APMM di Masjid Rusila yang disifatkannya sebagai mengulangi peristiwa Memali pada 1985.

Bagaimanapun, Saifuddin menegaskan, laporan sebenar mendapati sekumpulan individu menaiki beberapa kenderaan memasuki kawasan masjid tanpa kebenaran termasuk ke ruang solat wanita, namun perkara itu telah dijelaskan dan diselesaikan secara baik oleh pihak berkuasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast