KUALA LUMPUR – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan BlackBerry Technology Malaysia Sdn Bhd menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dalam pembangunan bakat digital, khususnya melahirkan pemimpin siber dan jurutera perisian bagi menyokong matlamat Malaysia memperkukuh saing industri di rantau ASEAN.

Kerjasama ini melambangkan pengukuhan hubungan dua hala antara Malaysia dan Kanada serta komitmen bersama dalam memperkukuh keupayaan dan ketahanan siber serantau menghadapi ancaman digital yang kian meningkat.

UKM turut bekerjasama dengan BlackBerry dan Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa) dalam melaksanakan Program Trustworthy Professionals, yang merupakan inisiatif bagi menyasarkan 50 belia daripada latar belakang kurang berkemampuan untuk menjalani latihan keselamatan siber serta kursus etika digital.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, kerjasama ini bukan sahaja meningkatkan penyelidikan dan inovasi di universiti, malah melahirkan tenaga kerja berkemahiran dalam bidang keselamatan siber dan pembangunan perisian.

“Kerjasama ini bukan sahaja mengukuhkan penyelidikan dan inovasi, malah membantu melahirkan profesional siber dan pembangun perisian terbenam dengan kemahiran teknikal serta kepimpinan yang diperlukan untuk memacu masa depan digital Malaysia,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada Majlis Penandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) antara UKM dengan Blackberry Technology Malaysia Sdn Bhd di W Kuala Lumpur. PIC: Ha.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa Kanada, Maninder Sidhu berkata, perkongsian antara UKM dan BlackBerry membuktikan bagaimana inovasi Kanada dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi digital yang selamat dan berdaya saing di rantau ini.

“Dengan bekerjasama dengan institusi seperti UKM, kita membantu membina bakat dan teknologi yang akan memacu kemakmuran bersama di ASEAN,” ujarnya.

Ketua Pegawai Eksekutif BlackBerry, John Giamatteo berkata, pembangunan tenaga kerja berkemahiran digital amat penting untuk keselamatan negara dan pembangunan ekonomi mampan.

“Melalui kerjasama ini, individu berpotensi tinggi akan mendapat akses latihan bertaraf dunia, pengalaman praktikal dan bimbingan industri agar dapat membentuk pemimpin siber yang mampu melindungi negara daripada ancaman masa depan,”

Pelajar dan tenaga kerja UKM akan mendapat manfaat daripada program global QNX Everywhere yang ditawarkan oleh BlackBerry, termasuk latihan dan pensijilan dalam QNX Software Development Platform (SDP) iaitu lesen percuma bagi penggunaan bukan komersial serta bimbingan komuniti pembangunan.

Naib Canselor UKM, Prof. Dr. Sufian Jusoh berkata, kerjasama strategik ini merupakan langkah penting ke arah memperkukuh keupayaan negara dalam bidang keselamatan siber dan sistem terbenam.

“Dengan gabungan kepakaran akademik UKM dan pengalaman global BlackBerry, kami berhasrat melahirkan pemimpin teknologi yang berpengetahuan tinggi, beretika dan komited untuk melindungi masa depan digital negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast