Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Perdagangan China, Wang Wentao menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0 disaksikan oleh Perdana Menteri China, Li Qiang (kiri) dan Perdana Menteri , Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) berikutan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 28 OKTOBER 2025.

KUALA LUMPUR – China sedia bekerjasama dengan ASEAN untuk membentuk kuasa yang lebih besar, sekali gus menyingkirkan campur tangan pihak luar di rantau ini.

Premier China, Li Qiang berkata, dengan meningkatkan kerjasama dan persahabatan, China dan ASEAN dapat memastikan pertumbuhan ekonomi yang stabil serta mendepani risiko dan cabaran ke arah membina masa depan yang lebih baik.

Menurut beliau, dunia ketika ini berdepan banyak perubahan baharu termasuk keputusan sepihak yang memberi kesan serius kepada pertumbuhan ekonomi dan perdagangan antarabangsa.

Jelasnya, campur tangan di luar rantau ini semakin meningkat dengan banyak negara sedang berdepan cabaran lebih besar akibat pelaksanaan tarif dan cukai lain yang tidak munasabah.

Sehubungan itu, tegas beliau, dalam menghadapi politik kuasa dan penindasan ekonomi dunia tersebut, perpecahan dan konfrontasi tidak akan membawa sebarang manfaat, sebaliknya hanya akan menyebabkan rantau ini semakin berpecah dan ditundukkan oleh kuasa luar.

“Semakin lama keadaan ini berlanjutan, semakin kuat untuk kita perlu bersatu dan berdikari, mempertahankan hak serta kepentingan sah kita melalui saling kebergantungan dan tindakan bersama,” katanya.

Beliau berucap pada majlis pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN-China di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini yang turut dihadiri Pengerusi ASEAN yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Terdahulu, ASEAN dan China turut menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0.

Sementara itu, Li Qiang menyifatkan China dan ASEAN merupakan negara berjiran yang baik dan saling berkait rapat serta bergantung antara satu sama lain.

Sehubungan itu, jelasnya, selagi kedua-dua pihak bersatu dan berusaha untuk berdikari, China dan ASEAN mampu melahirkan kuasa yang luar biasa.

“Tiada kesukaran yang tidak dapat kita atasi. Kami amat gembira melihat dalam setahun yang lalu, China dan negara-negara ASEAN telah mencapai kemajuan baharu dalam pembangunan bersama.

“Kerjasama antara kedua-dua pihak dalam pelbagai bidang telah menyaksikan peningkatan berterusan dalam jumlah perdagangan,” katanya.

Menyentuh mengenai ACFTA 3.0, kata Li Qiang, ia membuka lembaran baharu dalam perluasan dan pemusatan kerjasama ekonomi serta perdagangan antara China dan ASEAN. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast