Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-New Zealand hari ini.

KUALA LUMPUR – “Dalam susah dan senang, New Zealand sentiasa bersama ASEAN,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-New Zealand sempena ulang tahun ke-50 hubungan dialog kedua-dua pihak di sini hari ini.

Anwar yang juga Pengerusi ASEAN berkata, ulang tahun ke-50 bukan sekadar angka, tetapi lambang keutuhan persahabatan yang dibina atas kepercayaan, kemanusiaan dan nilai-nilai sejagat yang dikongsi bersama.

“Lima dekad ini bukan hanya tentang kerjasama rasmi, tetapi tentang bagaimana kita berdiri bersama sewaktu dunia dilanda ketidaktentuan, sewaktu rakyat diuji dengan krisis kemanusiaan, New Zealand tetap setia bersama ASEAN,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon yang menjadi pengerusi bersama sidang bersejarah itu sambil menyatakan bahawa semangat inklusiviti dan kemanusiaan harus kekal sebagai tunjang hubungan serantau.

“Perayaan ini bukan sekadar mengenang masa lalu, tetapi menatap masa depan dengan tekad baharu untuk membina rantau yang lebih inklusif, lebih penyayang dan lebih berdaya tahan,” ujar beliau.

Menurut Anwar, kerjasama ASEAN–New Zealand kini perlu melangkaui diplomasi tradisional dengan memberi tumpuan kepada isu-isu kemanusiaan, pembangunan hijau, keselamatan makanan dan ekonomi digital yang dapat memberi manfaat kepada generasi akan datang.

“Kerjasama ini adalah manifestasi nilai yang kita kongsi dalam setiap krisis kita memilih kemanusiaan, dan dalam setiap peluang kita memilih untuk saling memperkasa,” katanya.

“Terima kasih kepada rakan-rakan kami di New Zealand atas kesetiaan dan sokongan selama ini. Marilah kita terus melangkah bersama menuju masa depan yang lebih aman dan sejahtera,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast