Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa (tengah) ketika sesi bergambar pada Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Media dan Komunikasi 2025 (MENTION 2025) anjuran Pusat Kajian Media dan Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Menara TRX, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 28 OKTOBER 2025

KUALA LUMPUR – Kedutaan Indonesia dan Suruhanjaya Tinggi Singapura di Malaysia menerima baik permohonan maaf yang dikemukakan Radio Televisyen Malaysia (RTM) susulan kesilapan yang berlaku dalam siaran langsung pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 baru-baru ini.

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata, keputusan itu membuktikan hubungan diplomatik dan kerjasama media antara Malaysia dengan negara jiran kekal utuh tanpa sebarang ketegangan berpanjangan.

“Selain daripada permintaan maaf itu, saya telah berjumpa juga dengan Kedutaan Indonesia dan juga Suruhanjaya Tinggi Singapura dan kita telah menyatakan, kita minta maaf atas kesalahan itu.

“Mereka (kedua-dua kedutaan) telah menerima permintaan maaf kita dan ia tidak disengajakan, kami rasa bersalah juga,” katanya kepada media, hari ini.

Suhaimi hadir mengiringi Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa yang merasmikan Persidangan Antarabangsa Media dan Komunikasi 2025 (MENTION2025) di Menara AFFIN@TRX, di sini, hari ini.

RTM sebelum ini mengeluarkan tiga permohonan maaf secara terbuka kepada Singapura, Thailand dan Indonesia apabila kakitangannya tersilap menyebut nama pemimpin ketiga-tiga negara itu.

Dalam kenyataan rasmi, RTM menjelaskan bahawa hasil siasatan dalaman mendapati berlaku kesilapan oleh pengulas siaran langsung yang menyebut nama Perdana Menteri Singapura sebagai Lee Hsien Loong, sedangkan Perdana Menteri Singapura yang terkini ialah Lawrence Wong.

Malah penyampai juga turut menyebut nama Joko Widodo, sedangkan Presiden Indonesia ketika ini merupakan Prabowo Subianto dan menyebut nama Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul sebagai Srettha Thavisin, yang dipecat pada 2024.

Menurut Suhaimi, kedua-dua pihak memahami situasi sebenar serta menghargai kebertanggungjawaban RTM dalam menyelesaikan menyelesaikan isu itu secara profesional dan berhemah.

“Mereka menerima permintaan maaf kita,” ujarnya.

Tambah beliau, aspek suntingan kandungan akan dipertingkat malah RTM sedang menilai penambahbaikan struktur dalaman bagi mengelakkan kejadian berulang.

“Tentu saja, yang paling penting sekali adalah dalam masa depan, bagaimana kita akan memastikan kita akan lebih tegas lagi berhubung suntingan kandungan,” ujarnya.

Mengenai penerimaan maaf Singapura, Suhaimi berkata, pertemuan peribadi dengan Suruhanjaya Tinggi Singapura menyerlahkan keakraban hubungan dua hala terutama dalam industri hiburan dan komunikasi.

“Beliau (Pesuruhjaya Tinggi Singapura) menghargai tindakan kami untuk meminta maaf dan beliau juga menyebutkan Malaysia dan Singapura adalah dua rakan yang akrab dan banyak pertalian,” katanya.

Dalam pada itu, Suhaimi berkata, siasatan dalaman masih diteruskan bagi mengenal pasti kelemahan serta memastikan integriti kandungan RTM terjamin.

“Kita memang ada siasatan dalaman dan masih berjalan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast