MELAKA – Dua pegawai bank wanita di hadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas tujuh pertuduhan berasingan menerima rasuah lebih RM50,000 dan RM8,000 tahun lalu.
Bayaran itu adalah sebagai upah memproses permohonan pembiayaan peribadi pelanggan yang melebihi had kelayakan.
Tertuduh Syamime Hazreen Bahrin, 37, dan Nursyafiqah Abdul Latif, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Syamime Hazreen yang masih bertugas sebagai penasihat kewangan di sebuah bank di Kuala Lumpur, didakwa atas lima pertuduhan menerima suapan berjumlah RM50,581.51 secara pindahan atas talian ke dalam akaun bank miliknya.
Ia sebagai suatu upah kerana membantu memproses permohonan pembiayaan pinjaman peribadi lima pelanggan sebuah syarikat secara serentak dengan permohonan pinjaman peribadi pelanggan di beberapa instistusi kewangan yang lain.
Perbuatan itu telah menyebabkan pelanggan tersebut mempunyai beberapa pinjaman peribadi melebihi had kelayakan mereka.
Kesalahan berkenaan dilakukan di sebuah bank di Jalan Hang Tuah, di sini, antara 8 Disember 2022 hingga 15 Julai 2024.
Sementara itu, Nursyafiqah, yang ketika itu bertugas sebagai Eksekutif Pembiayaan Pengguna di sebuah bank cawangan Ampang Point, dituduh dengan dua pertuduhan iaitu secara rasuah menerima RM8,000 daripada seorang lelaki secara pindahan atas talian ke dalam akaun bank miliknya atas kesalahan sama.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah bank di Masjid Tanah, Alor Gajah pada 7 Ogos 2023 dan 9 September 2023.
Kedua dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) akta sama.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Sharina Farhana Nor Sa’ari menawarkan jaminan antara RM20,000 hingga RM25,000 dengan seorang penjamin terhadap Syamime Hazreen dan RM7,000 dengan seorang penjamin terhadap Nursyafiqah.
Sharina Farhana turut memohon syarat tambahan iaitu kedua-dua tertuduh perlu melaporkan diri ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya sebulan sekali selain mereka perlu menyerahkan pasport antarabangsa ke mahkamah.
Peguam Syamime Hazreen, Emile Ezra Hussain dan peguam Nursyafiqah, M. Manoharan bagaimanapun memohon agar mahkamah mengurangkan jumlah jaminan.
Hakim Elesabet membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 kepada Syamime Hazreen dan RM7,000 terhadap Nursyafiqah dan membenarkan syarat tambahan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya.
Mahkamah menetapkan 3 Januari depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen. – MalaysiaGazette
















