Taufan Melissa menyebabkan kematian empat orang di Haiti dan Republik Dominican.

KINGSTON – Jamaica bersiap sedia menghadapi Taufan Melissa, ribut paling kuat tahun ini yang berpotensi mengakibatkan banjir besar.

Dengan kelajuan angin mencapai 175 batu sejam (282 km/j), Taufan Melissa dikategorikan sebagai taufan kategori lima – tahap maksimum dalam skala ribut tropika.

Ia dijangka melanda Pulau Caribbean itu pada awal pagi Selasa.

Ribut itu telah menyebabkan kematian empat orang di Haiti dan Republik Dominican.

Ahli meteorologi memberi amaran pergerakan Taufan Melissa yang perlahan bermakna ia akan mencurahkan hujan lebat untuk tempoh yang lebih lama di kawasan terjejas, sekali gus meningkatkan risiko banjir besar dan tanah runtuh yang boleh membawa maut.

Menurut data terkini dari Pusat Taufan Kebangsaan Amerika Syarikat (NHC), dari segi kelajuan angin maksimum dan tekanan pusat yang rendah, Taufan Melissa merupakan taufan paling kuat di dunia setakat ini pada tahun ini.

Dalam kemas kini terbaharunya pada Isnin, jam 18:00 GMT, NHC memberi amaran “angin, banjir, dan ombak ribut yang membawa maut” dijangka melanda Jamaica malam ini dan awal pagi Selasa.

Taufan Melissa kini berada kira-kira 145 batu (233 km) barat daya ibu kota Kingston, bergerak ke arah barat laut pada kelajuan hanya 3 batu sejam (6 km/j).

“Potensi hujan luar biasa ini, disebabkan pergerakan ribut yang perlahan, akan mencetuskan bencana besar di Jamaica,” kata Jamie Rhome, Timbalan Pengarah NHC.

NHC turut menjangkakan hujan setinggi 100 sentimeter di beberapa bahagian Jamaica dalam tempoh empat hari akan datang.

Kerajaan Jamaica telah mengarahkan pemindahan di beberapa kawasan Kingston, dan seluruh pulau kini diklasifikasikan sebagai “berisiko tinggi”.

Menteri Pendidikan Jamaica, Dana Morris Dixon, memberi amaran bahawa ribut ini adalah sesuatu yang “tidak pernah dialami sebelum ini”.

“Kami telah menerima hujan sepanjang bulan Oktober. Tanah sudah tepu air. Jadi dengan jumlah hujan sebegitu, kami pasti akan mengalami banjir besar dan tanah runtuh di kawasan pergunungan,” katanya.

Jamaica sudah membuka 881 pusat perlindungan dan semuanya  secara percuma.” – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast